Ibu muda hilangkan diri ikut pengkid

Ibu muda hilangkan diri ikut pengkid
Ibu muda hilangkan diri ikut pengkid Hoon Yean menangis kerana sedih akan kehilangan cucunya, Poh Yee.
Ibu muda hilangkan diri ikut pengkid
IPOH: Seorang ibu muda tidak pulang ke rumah dipercayai melarikan diri bersama pengkid yang dikenalinya sejak Julai lalu menerusi laman sosial Facebook.

Hew Poh Yee, 18, tidak pulang ke pangkuan keluarganya sehingga hari ini selepas keretanya ditemui di Stesen Keretapi Ipoh, 11 Ogos lalu.

Ibu saudaranya, Annie Chan, 35, berkata, anak saudaranya menghilangkan diri bersama wang syarikat milik datuknya, Hew Hoon Yean, 67, berjumlah RM17,000.

"Kehilangan wang itu disedari selepas beberapa transaksi perbankan atas talian dipercayai dilakukan Poh Yee sejak 10 Ogos lalu.

"Malah, jumlah wang dilarikan itu termasuk mata wang Singapura dan Jepun yang disimpan bapa mertuanya di rumah kami," katanya.

Menurutnya, sebelum ini, Poh Yee mempunyai karakter yang baik, rajin membuat kerja rumah dan begitu menyayangi bayi tunggalnya yang berusia 18 bulan.

"Tapi, lepas dua kali dia ke Kuala Lumpur... dia mula tunjukkan perubahan sikap yang ketara. Dia selalu marah-marah dan abaikan bayinya tanpa belas kasihan.

"Kami sekeluarga jadi hairan dengan perubahan itu dan lebih mengejutkan dia sanggup larikan diri mengikut rakan Facebook," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Aduan BN Perak, semalam.

Difahamkan, Poh Yee dipelihara keluarganya selepas ibu bapa anak saudaranya itu meninggal dunia sejak dia berusia dua tahun.

Dalam pada itu, Chan turut meminta bantuan beberapa sahabat sehingga berjaya menjejak akaun Facebook milik rakan anak saudaranya itu.

“Melalui akaun Facebook itu, kami dapat melihat kemesraan mereka berdua, malah rakan anak saudara saya turut berjanji untuk membelikannya sebuah kereta BMW.

“Namun, kami mengesyaki, rakannya hanya menipu untuk menarik perhatian Poh Yee supaya terus bersama demi kepentingannya,” katanya.

Chan berkata, mereka sekeluarga kini buntu mahu mencari Poh Yee dan berharap ibu muda itu segera pulang ke rumah demi anaknya.

"Bayinya amat memerlukan Poh Yee... jadi, kami harap sangat Poh Yee dapat balik ke pangkuan kami segera.

"Kita juga harap pihak berkuasa dapat membantu mencari dan membawanya pulang dalam keadaan selamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Urus Setia Pusat Khidmat Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah menasihatkan orang ramai khususnya remaja supaya tidak mudah terpedaya dengan pujuk rayu kenalan baharu.

“Kita perlu berhati-hati jika baru berkenalan dengan individu di media sosial... kita tidak tahu latar belakang mereka," katanya.
-sinarharian-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan