Assalamu alaikum w.b.t.
Saya seorang anak muda yg mengikuti perkembangan 'Parti Amanah Negara' sejak awal pergerakannya.
Beberapa hari selepas Muktamar PAS 2015 berakhir, beberapa orang anak muda (berumur 30 tahun ke bawah) yang dilihat cenderung kepada kumpulan 'progresif' dalam PAS berkumpul di satu tempat bagi membincangkan ke mana hala tuju golongan 'progresif' dalam PAS dan ke mana pula hala tuju kami. Dalam pertemuan tersebut, kami menjemput Dr. Dzulkefly Ahmad utk memberikan maklumat terbaru berkenaan golongan 'progressif' yang kalah dalam pemilihan. Kesimpulannya, sebuah parti baru akan ditubuhkan.
Anak-anak muda dalam pertemuan malam itu berbincang dan berhujah dengan pandangan tersendiri. Akhirnya kami memutuskan untuk membawa haluan masing-masing. Ada yg memilih utk menyertai PKR & DAP, ada yang memilih untuk bergerak dalam NGO, ada yang memutuskan untuk kekal di dalam PAS dan majoriti di antara kami memilih untuk membantu penubuhan parti baru.
Kami dijanjikan dengan sebuah parti yang bersifat 'inklusif' untuk semua pihak, parti yang mengutamakan anak muda, parti yang terbuka untuk menerima pandangan dan kritikan serta parti yang akan diterima oleh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Tidak perlu saya perincikan apa sumbangan kami anak-anak muda yang bergerak membantu gerak kerja penubuhan parti baru ini. Masing-masing kini berada dalam jawatankuasa pemuda pusat, negeri, kawasan dan ProGuam. Semuanya memainkan peranan di setiap peringkat.
Sekalipun sepanjang proses penubuhan parti baru ini terdapat pelbagai cabaran dan dugaan, kita menyaksikan kesungguhan pelbagai pihak untuk memastikan penubuhan parti berjalan dengan lancar. ‘Pelbagai pihak’ ini bukan semata-mata kumpulan ‘G18’ yang kalah semasa pemilihan Muktamar PAS, tetapi termasuk mereka yang bergerak dalam NGO-NGO dan kumpulan-kumpulan lain. Namun dalam tempoh tersebut, saya mempunyai pandangan saya sendiri. Bakal pemimpin dan pengikut parti baru bukanlah semuanya bersikap ‘progresif’. Hakikatnya masih ramai yang terbawa-bawa perangai semasa dalam PAS dan agak kabur apa 'pembaharuan' yang cuba dibawa. Terdapat ahli Kumpulan G18 yang kurang menghargai sumbangan kumpulan lain. Malah ada yang dengan bongkak merendahkan keupayaan kumpulan lain. Adakah ini yang dikatakan progresif?
Saya tanpa segan silu ingin mengatakan parti baru gagal menampilkan sebenar-benar sifat INKLUSIF sepanjang proses penubuhan parti baru sejak dari awal gerakannya sehingga hari pelancaran. Dari proses merangka perlembagaan, pemilihan logo sehinggalah pemilihan lagu tema parti.
Saya secara peribadi tidak bersetuju untuk meletakkan ‘Islam’ sebagai dasar parti kerana Islam itu luas, merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia dan rahmat sekalian alam. Islam tidak terperuk pada ruang lingkup politik kepartian semata-mata. Akhirnya matlamat kita untuk menubuhkan sebuah parti yg ‘inklusif' untuk semua rakyat Malaysia yg berbilang kaum dan agama telah gagal. Kita hanya dilihat sebagai 'PAS No. 2' atau satu lagi serpihan parti Melayu. Tidak perlu 'poyo' mengatakan "kita juga ada ahli bukan Melayu dan bukan Islam termasuk dalam AJK Pusat". Hakikat sebenarnya, penyertaaan kaum bukan Melayu dalam parti ini hanya kurang dari 1%. Tidak meletakkan ‘Islam’ pada dasar parti tidaklah menjadikan kita Muslim yang tidak berpegang pada Islam. Saya berlepas diri dari perkara tersebut dan berharap ianya akan memberi kesan yang positif satu hari nanti.
Saya masih tertanya-tanya. Adakah benar jalan yang saya pilih utk bersama parti baru ini. Katanya ia adalah 'parti masa depan' yang akan menjadi pilihan anak muda. Tetapi hakikat yg berlaku hari ini adalah sebaliknya. Berapa peratuskah bilangan anak muda yg tertarik dengan parti baru ini? Saya mempunyai ramai kenalan dalam kalangan anak muda yg mempunyai pelbagai latar belakang. Sungguh saya katakan, mereka kurang berminat dgn parti baru ini. Mungkin mereka berpendirian untuk 'tunggu dan lihat', apakah ianya benar-benar progresif atau bakal menjadi PAS 2.0 dalam arena politik tanah air? Di mana sebenarnya kegagalan parti baru untuk menarik anak muda untuk bersama?
Pada 16 September 2015, dengan rasminya 'Parti Amanah Negara' telah dilancarkan. Kemuncaknya ditampilkan logo parti. Namun tidak sampai sehari selepas majlis tersebut, timbul isu tentang logo parti yg dikatakan diciplak dari rekabentuk logo sebuah syarikat televisyen di Bangladesh iaitu logo Imayam. Orang awam menantikan apa respon dari Amanah. Kenyataan dari S/U Agung, Tn Hj Anuar Tahir sangat mengecewakan. Alasan 'kebetulan' adalah alasan yang tidak bijak dan menjadi bahan ketawa orang ramai. Malah ada pimpinan yang mendakwa dalam dunia ini banyak logo organisasi yang mempunyai persamaan. Bentuk bulat, segi tiga tepat, segi empat, segi lima (pentagon), segi enam (hexagon), segi tujuh (heptagon), segi lapan (octagon) dan seterusnya adalah bentuk yg tidak boleh diberi hak cipta kepada mana-mana pihak kerana ianya adalah bentuk asas. Namun bentuk logo Imayam adalah bentuk yg rumit. Lekuk, vektor dan arah yg sama menjadikan kemungkinan utk berlaku 'kebetulan' adalah mustahil. Logo merupakan perkara pertama yang diambil kira untuk proses penjenamaan. Jikalau logo pun diciplak, di mana definisi 'amanah' yang cuba dibawa?
Perkara yang menjadi kekecewaan anak muda seperti saya ialah 'pertandingan' mencipta logo tidak disebar luaskan. Saya sendiri yang mengikuti rapat perkembangan parti tidak mengetahui tentang wujudnya pertandingan mencipta logo ini. Siapakah panel penilainya? Adakah panel yang dibentuk tiada kemahiran dalam bidang penciptaan logo? Teknologi sekarang membolehkan kita membuat semakan sama ada logo yang dicipta mempunyai persamaan dengan logo yg sedia ada di seluruh dunia. Mengapa panel penilai begitu lemah sehingga perkara asas sebegini pun tidak boleh diselesaikan? Apabila isu ciplak ini timbul saya sekadar beranggapan jawatankuasa penilai bukan orang yang arif dan ahli tentang logo, tiada pembentangan, tiada perbahasan, tiada 'brainstorming' dan tiada perbincangan yang serius tentang pemilihan logo yang akan membawa imej parti. Tapi pemilihannya sekadar syok sendiri. Apa yang lebih mengecewakan apabila saya mendapat tahu 'pemenangnya' adalah anak kepada AJK Amanah Pusat. Adakah ini yang dinamakan pertandingan?
Begitu juga dengan lagu tema parti. Mengapa penciptaan lagu tidak dipertandingkan? Tahu-tahu sahaja pada majlis 16 September yang lepas sudah dilancarkan lagu rasmi Parti Amanah Negara. Apakah begitu sukar untuk membuka satu pertandingan mencipta lagu dengan membuka penyertaan pada semua pihak. Pilih satu tarikh utk semua peserta persembahkan lagu ciptaan mereka. Lantik satu jawatankuasa penilai yang terdiri daripada mereka yang benar-benar ahli dan mahir dalam bidang muzik. Bukan pilih panel dalam kalangan AJK yg buta seni dan syok sendiri. Sendiri buat lagu dan sendiri angkat jadi lagu rasmi. Adakah ini yang dikatakan inklusif?
Ini bukan cara anak muda. Cara seperti ini tidak menjadi pilihan anak muda pada hari ini. Anak muda lebih suka mereka dilibatkan dalam menilai dan membuat sesuatu keputusan. Sepatutnya pertandingan untuk mencari logo terbaik boleh melalui media sosial yg begitu dekat dengan anak muda. Sebagai contoh, paparkan semua logo-logo yg telah dipertandingkan di ‘Facebook’. 3 logo yang mendapat 'like' terbanyak akan dipilih untuk dinilai, dibincang dan dibahas dengan sebaiknya oleh jawatankuasa penilai. Sikap "KAMI lebih tahu apa yang KAMI buat" telah menghancurkan persepsi awam terhadap parti baru ini. Tidak rugi pun beralah dengan membuat kenyataan mengaku salah dan menarik semula logo yang ternyata diciplak dari logo lain. Kenyataan yang sombong dan bongkak hanya akan menjauhkan anak muda di luar sana dengan 'parti masa depan' ini.
Jadikan parti ini adalah parti yang benar-benar milik rakyat. Parti yang terbuka untuk membuka ruang dan peluang kepada rakyat Malaysia terutamanya anak-anak muda melibatkan diri dalam bersuara dan membuat keputusan. Bukan seperti mana sebahagian AJK Pusat yg awal-awal lagi menghancurkan istilah INKLUSIF yang dicanang-canang sejak awal. Tetapi sekadar membawa semula perangai EKSKLUSIF yang melekat semasa dalam PAS.
Para pimpinan pada hari ini juga pernah melalui usia muda yang agresif dan kritikal kepada pimpinan satu masa dahulu. Ini adalah suara hati saya sebagai anak muda. Jika ianya bersifat teguran, terimalah teguran saya sebagai anak muda kepada pimpinan pada hari ini. Saya mohon maaf jika bahasa dan tulisan saya tidak disenangi.
Saya sayangkan agama dan negara saya melebihi parti baru ini. Jika parti baru ini masih tidak boleh berubah, pada bila-bila masa saya boleh memilih jalan yang lain. Ketika itu jangan mimpi anak muda di luar mahu bersama parti baru ini. Malah anak muda yg di dalam tidak segan-segan mahu keluar meninggalkan parti 'so-called' PROGRESIF ini.
Terima kasih.
Nur Hadi Mohamad
21 September 2015
adik nur hadi,
BalasPadamtiada kejayaan tanpa ada pengorbanan.
parti tu baru nak bergerak, maka janganlah dipincangkan langkahnya.
jangan tanya dulu sumbangan parti kepada kita, tapi tanyalah apakah sumbangan kita kepada parti setakat ini
jangan banyak merungut kerana ianya akan menghakis keikhlasan kita....