Patah semangat - itu dirasakan sebahagian daripada tahanan polis yang ditangkap di gig Party Tonight, Revolution Tomorrow di Rumah Api di Pekan Lama Ampang minggu lalu.
Seorang daripada mereka - wanita - memberitahu dia berasa begitu kerana didakwa cuba menjatuhkan kerajaan sedangkan apa yang dibuat ketika ditahan ialah menonton persembahan muzik saja.
Wanita yang enggan didedahkan identitinya itu adalah antara lebih 100 orang yang diberkas pihak berkuasa ketika mereka menikmati gig kumpulan indie di Rumah Api.
Serbuan itu tidak dijangka. Rumah api - premis popular di kalangan peminat muzik alternatif terletak kurang 100 meter dari Balai Polis Trafik Ampang dan menjadi tempat ratusan gig seumpamanya.
Satu-satunya perbezaan pada gig Jumaat lalu ialah, nama yang diberikan - Party Tonight, Revolution Tomorrow dan diadakan menjelang permulaan BERSIH 4.
Wanita itu yang menegaskan datang hanya untuk melihat gig berkenaan, berkata mereka disoal siasat mengenai BERSIH 4, 'revolusi' dan cubaan menjatuhkan kerajaan.
"Sama ada polis cuba mengaitkan kami dengan BERSIH, tak tahu, tapi pengunjung Rumah Api biasanya orang yang mungkin tidak turun menyertai BERSIH," katanya.
Namun soal siasat bukanlah sekadar itu saja. Lapan daripada 13 wanita yang ditahan sedang datang bulan dan dipaksa menukar lampin masing-masing di depan anggota polis wanita yang bertugas di lokap Balai Polis Pandan Indah.
-malaysiakini-
--------------------
KPN Nafi Dakwaan 'Tuala Wanita'
PELABUHAN KLANG: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan dakwaan mengenai lapan tahanan wanita dipaksa menukarkan tuala wanita di hadapan anggota polis wanita.
"Saya sudah buat semakan dan perkara itu tidak berlaku. Kenapa kita mahu melihat wanita tukar tuala wanita?
"Jangan buat macam ini. Kita tahu jaga maruah orang lain.
"Dakwaan ini keterlaluan," katanya selepas menghadiri sambutan Hari Polis Marin ke-68 di sini, Rabu.
Tambah Khalid, dakwaan seumpama itu hanya menjejaskan imej polis.
Dilaporkan lebih 100 orang ditahan semasa serbuan dilakukan di lokasi persembahan muzik indie di Rumah Api pada Jumaat lalu.
Lapan daripada 13 wanita yang ditahan dikatakan datang haid dan salah seorang daripada mereka mendakwa tahanan dipaksa menukarkan tuala wanita mereka di hadapan anggota polis wanita.
Wanita berkenaan turut mendakwa bahawa tahanan tidak dibenarkan memakai seluar dalam tempoh reman selama tiga hari di lokap balai polis Pandan Indah.
-Mstar-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan