Subky Latif
JANGKA pendeknya mungkin tidak banyak rugi DAP berkelahi dengan PAS. Ia boleh pertahankan pengaruhnya di bandar terutama kerajaan Pulau Pinang. Tetapi kejayaannya sedikit sebanyak untuk memecah tembuk sokongan orang Melayu boleh terbengkalai untuk satu jangka yang dapat diagak.
Selama 40 tahun ia cuba menembusi politik orang Melayu, ia tidak dapat menjadi parti berbilang kaum seperti yang diperlembagakannya.
Baik oarng Melayu yang tidak perkauman, apa lagi yang tebal perkaumannya tidak dapa menerima DAP sebagai parti Malaysia untuk orang Malaysia.
Ia kekal dilihat sebagai parti orang Cina walaupun ia banyak mengenengahkan isu kebangsaan dan sejagat untuk semua.
Orang Melayu yang menyertainya ada sejak dari awal lagi, tetapi beberapa kerat saja.
Politik mereka tidak pula tegap baik kedudukannya di kalangan orang Melayu mahupun dari segi perjuangan. Baik yang masuk komunis dulu kala ada yang diperjuangkannya.
Tetapi dengan menjadi DAP, tidak nampak apa yang diperjuangannya. Tidak seperti Cina yang menubuhkan DAP, ada yang diperjuangkannya.
Orang Melayu yang menyertai DAP dulu dan sekarang tidak dapat menarik orang Melayu mengikut mereka. Tetapi dengan jadi DAP ada peluang untuk jadi wakil rakyat. Dan kiranya DAP menguasai negeri-negeri beraja, mereka boleh jadi menteri besar.
Waqi’ politik sejak merdeka tidak praktikal orang bukan Melayu jadi menteri besar. Jika ada orang Melayu jadi wakil rakyat DAP, maka demokrasi tidak menghalangnya jadi menteri besar sekalipun dia wakil rakyat tunggal Melayu DAP. Kebanyakan yang menyertai DAP itu tidak kekal.
Tetapi dengan berkawan dengan PAS, sekalipun ia tidak dapat menambah cawangan di tengah masyarakat Melayu, tetapi mulai ramai pengundi Melayu mengundi DAP. Tidak begitu dipedulikan oleh orang Melayu ia asalnya ganti PAP Singapura di Malaysia dan slogan Malaysian Malaysianya tidak menghantui sangat.
Ada pemimpin DAP boleh naik surau dan masuk serambi masjid.
Orang PAS bawa pemimpinpemimpin DAP naik pentas dan berceramah di kawasan yang tebal Melayu. Sebagaimana orang Melayu kampung boleh menerima MCA dan MIC, dengan DAP berkawan dengan PAS, curiga Melayu kepada DAP selama 40 tahun mulai cair.
Apabila Lim kit Siang masuk Pasar Khadijah di Kota Bharu, dia dikerumun oleh peniaga pasar itu beretanya itu dan ini. Seolah-olah dia macam pemimpin PAS juga.
Orang PAS yang mengiringnya brkata, “Mereka terima Encik Lim sebagai pemimpin mereka juga.” Memang politik tahaluf PAS dengan DAP hingga Pilihan Raya Umum ke-13 dulu membantu banyak peluang DAP untuk berdekat dengan masyarakat Melayu. Ia seolah-olah sentimen anti-DAP boleh dikikis bahkan oleh hapus.
Selama sepuluh tahun DAP tidak lagi dilihat sebaai parti yang digetik oleh orang Melayu. Rasa benci Umno kepada DAP sudah kurang laku pada masyarakat.
Seolah-olah boleh berubah persepsi DAP sebagai parti perkauman sejak dulu bertukar tidak perkauman lagi.
Sebaliknya Umno yang mengaku tidak perkauman selama ini bertukar imej menjadi properkauman disebabkan terlalu anti-DAP.
DAP tidak dapat tukar persepsi terhadapnya. Yang dapat menukarnya ialah politik yang dimainkan PAS di tengah masyarakat.
Tidaklah ditolak peranan dan sumbangan PKR banyak membantu DAP kecairan anti-DAP di kalangan orang Melayu. Justeru PKR tidak berakar umbi di tengah orang Melayu seperti PAS, maka banyak yang DAP boleh dapat dari politik PAS di kalangan orang Melayu.
Politik muafakat Pakatan pra- PRK Kajang telah meletakkan DAP satu parti penting dalam politik Malaysia. MCA, Gerakan dan MIC tidak dapat keduduk seperti DAP.
DAP benar-benar jadi sebahagian dari kerajaan menunggu. Jika selama ini DAP dikira parti tentang pembangkang, maka tahaluf telah menjadikan DAP bila-bila masa akan jadi parti kerajaan di Malaysia.
Tidak lagi Kit Siang dirasakan berakhir sebagai pembangkang saja. Saya tidak mahu mengatakan Kit Siang boleh jadi Timbalan Perdana dalam kerajaan menunggu itu, tetapi dia tidak dilihat akan mati sebagai pembangkang.
Dia ada harapan mati sebagai seorang menteri kanan dan seterus menjadi negarawan.
Entah bagaimana Kit Siang dan DAP telah berkelahi dengan PAS. Lim Guan Eng kata Ustaz Hadi Awang bohong dan PAS kata DAP bohong. Akhirnya dua parti itu pecah kongsi. Saya tidak bercadang memperincikan punca putus hubungan.
Memadai jika saya sebutkan satu saja iaitu hudud. Keduaduanya tidak pernah setuju hudud agenda bersama. PAS setuju DAP tak setuju dengan hudud. Tetapi PAS tidak mahu DAP halang PAS kemukakan usul persendirian tentang hudud. DAP boleh bangkang tetapi DAP jangan halang dan jangan tolak PAS dari Pakatan.
Hudud yang hendak dibentang di Parlimen bukan lagi hudud yang dienakmen di Kelantan dan Terengganu. Ia satu pindaan hudud tidak akan sama sekali melibatkan bukan Islam sekalipun ada bukan Islam yang minta mereka dihukum dengan undangundang itu.
Bukan DAP saja menolak usul PAS. PKR pun menolak. Tetapi PKR tidak mengambil langkah berkelahi. Maka PAS tidak putus tahaluf dengan PKR tetapi putus dengan DAP.
Hudud bukan program Umno dan pemimpin Umno masih tidak gemar dengannya. PAS tidak boleh terima Umno tolak hudud kerana ia parti orang Islam. Tetapi PAS tidak marah DAP tentang hudud kerana ia idak mewakili masyarakat Islam.
Tetapi hudud sudah dikehendaki oleh orang Umno akar umbi.
Umno pasca-Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi mengira hudud yang diputuskan itu hudud PAS.
Ia sudah diterima hudud Islam. Ini yang DAP terlepas pandang. Kerana DAP tidak melihat hikmah atas pindaan yang PAS mahu usulkan itu, ia lanjutkan perkelahian dengan PAS.
Sesudah 10 tahun DAP keluar dari kepungan dan penjara politik politik Umno. Dulu ia tidak dapat bertemu orang Melayu. Dengan berkawan dengan PAS dia boleh berpolitik dengan orang Melayu.
Jika dia terima usul persendirian yang PAS cadang, ia akan dapat mengukuhkan lagi perhatian orang Melayu kepadanya.
Orang Islam yang hendakkan hudud dari PAS, Umno akar umbi dan orang atas pagar tidak dapat hudud dari kerajaan Umno, tetapi jika mereka boleh dapat dari Pakatan yang disokong DAP, maka orang Melayu akan lebih tertambat pada DAP.
DAP akan kian bebas dari kepungan Umno selama ini. Dengan kedudukan Umno yang sakit dengan pemimpinnya yang sakit, hancur Umno oleh DAP ia prohudud. Dan hudud itu dibebaskan dari bukan Islam. Rakyat dapat hudud dan DAP dapat Melayu.
Kerana DAP antihudud, ia berkelahi dengan PAS. Ia hilang sokongan Melayu yang dia mulai dapat. Ia berada di rimba semula seperti ia mula ditubuhkan dulu.
Untuk dapat sokongan Melayu semula, kita akan lihat Kit Siang mati dulu dan Guan Eng juga mungkin mati dulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan