FMT Reporters
PETALING JAYA: Ahli PKR seumur hidup, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendakwa ada gerakan dalam kalangan pemimpin dan aktivis parti itu untuk menubuhkan parti baharu.
Dia mendakwa telah mendapat maklumat daripada seseorang dari Pejabat Pendaftar Pertubuhan di Putrajaya bahawa kumpulan berkenaan telah hadir untuk mendaftarkan parti itu pada minggu lalu.
Katanya, seramai 13 orang telah hadir untuk mendaftarkan parti baharu itu.
“Saya cuba mendapatkan butiran lanjut dan dikenal pasti antaranya ialah individu yang mengaku sebagai Presiden Akar Umbi Keadilan yang kini memegang jawatan sebagai Naib Ketua Cabang, Pengarah Pilihanraya DUN Bukit Antarabangsa, bekas Setiausaha Kerja Pemuda Pusat, bekas Setiausaha Kerja PKR Pusat dan beberapa orang lain yang turut masih memegang jawatan di peringkat Pusat.
“Cuma pelik kerana apa relevannya tindakan ini ? Ramai mungkin menuduh mereka ejen UMNO tetapi jika ia usaha musuh kenapa dibuat secara senyap?” katanya.
Dakwaan terbaharu Chegubard itu turut disebarkan menerusi aplikasi WhatsApps.
Dia mendakwa, selepas siasatan lanjut dilakukan kemungkinan ia usaha terancang dan kemungkinan turut melibatkan sekutu lain parti pembangkang.
“Adakah Pas terlibat ? Adakah ia kena mengena dengan proses rampasan kuasa kartel Azmin (Mohamed Azmin Ali) yang mengasak Mesyuarat MPP Khas mempertikaikan tindakan Presiden dan kemungkinan wujud undi tidak percaya?
“Saya mengingatkan diri sendiri dan semuanya, UMNO dan Barisan Nasional tidak kuat namun dalam sejarah membuktikan lawan berpecah dan lemah menjadi kekuatan regim. Hati – hati dengan “trojan Hourse”….” katanya.
Sebelum ini Chegubard mendakwa kumpulan penyokong Azmin cuba menggulingkan Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan mendesak diadakan mesyuarat MPP khas bagi membincangkan semula sokongan dan penyertaan PKR dalam Pakatan Harapan.
Dia mendakwa sekiranya Wan Azizah membuat u-turn terhadap keputusan itu, ia sudah tentu memalukan Presiden kerana tidak sokongan penuh Ahli Majlis MPP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan