INILAH lokasi pemandu kereta sapu mengambil Fatimah di Jalan Panglima Abdullah, Semporna sebelum cuba menyamun mangsa Isnin lalu.
SEMPORNA; Seorang jururawat di sini bertindak nekad apabila merampas pisau rambo lalu menikam perut seorang pemandu kenderaan sapu yang cuba menyamunnya di dalam kenderaan di Jalan Kampung Keramat dekat sini Isnin lalu.
Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, mangsa, Fatimah Tampugau, 23, bagaimanapun mengalami cedera ringan di jari tangan kanan selain kerugian RM1,000.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang bekerja di sebuah klinik swasta di Jalan Panglima Abdullah menggunakan perkhidmatan kereta sapu jenis Perodua Kancil untuk pulang ke rumah di Kampung Panji di sini.
Katanya, bagaimanapun suspek berusia 20-an dan berbadan sasa itu memberitahu ingin mengambil rakannya di sebuah kawasan dikenali Century Darat.
“Sebaik tiba di Jalan Kampung Keramat, suspek telah mengeluarkan sebilah pisau rambo sepanjang 30 sentimeter sebelum meletakkan di paha mangsa.
“Secara tiba-tiba, mangsa telah merampas pisau tersebut dan menikam perut suspek dan berlaku pergelutan yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada jari tangan kanan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
-kosmo-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan