KOTA BHARU 7 Okt.: Kerana masalah tuntutan harta, seorang lelaki bertindak kejam membunuh ibu bapa angkatnya dengan memasang bahan letupan pada motosikal yang dinaiki mereka hingga menyebabkan pasangan warga emas tersebut maut dalam keadaan mengerikan selepas bom itu meletup.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi ketika Cha Mok Liong, 72, dan isterinya, Fong Ah Fong, 72, dalam perjalanan menuju ke Kampung Pulai di Kilometer 3, Jalan Gua Musang-Pulai di Gua Musang dekat sini hari ini.
Letupan bom buatan sendiri yang difahamkan boleh didengari sejauh lima kilometer itu menyebabkan cebisan daging kedua-dua mangsa bertaburan di atas jalan raya dalam lingkungan 40 meter radius.
Sejam selepas kejadian, anak angkat mangsa yang berusia 27 tahun diberkas rumahnya di Kampung Batu Papan di sini. Ketua Polis Negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, pasangan penoreh getah itu dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Batu Papan ke kampung tersebut kerana mempunyai urusan dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM).
“Lebih kurang tiga kilometer pasangan itu menunggang motosikal dari rumah mereka, secara tiba-tiba motosikal tersebut meletup dan berkecai.
“Berdasarkan siasatan awal, bom tersebut dipercayai diletakkan berhampiran dengan bateri motosikal jenis Demak yang ditunggang mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Mazlan, bertindak atas maklumat yang diperoleh, suspek yang mempunyai dua orang anak telah ditahan di rumahnya.
Ujarnya, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada suspek yang tidak berpuas hati mengenai tuntutan harta. Sementara itu, di lokasi kejadian, Ketua Polis Daerah, Superintenden Saiful Bahri Abdullah berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan sama ada masih terdapat bahan letupan yang dimiliki oleh suspek di rumahnya atau disimpan di lokasi lain.
“Saya minta kepada semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi terutama di media sosial berhubung kejadian ini dan bahan letupan yang digunakan.
“Kita mendapati punca letupan ini adalah daripada bahan letupan buatan sendiri dan pihak polis sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan