Mohd Azhar Abd Rahman
Parti Amanah Negara (Amanah) yang baru mendapat kelulusan daripada pihak RoS untuk menggunakan nama Amanah dalam aktivitinya, dan secara rasmi bergerak sebagai sebuah parti merupakan berita positif kepada pendokongnya untuk bergerak lebih mantap sebagai salah sebuah parti blok pembangkang.
Menjadi salah sebuah gabungan Pakatan Harapan, Amanah sudah pasti menjadi tumpuan dalam mengatur strategi menarik lebih ramai pengundi Melayu, meskipun parti itu ditonjolkan sebagai parti ‘multiracial’ yang membenarkan semua rakyat Malaysia, tidak mengira latar belakang bangsa untuk menganggotainya.
Sejak awal kemunculan mereka melalui platform Gerakan Harapan Baru (GHB), kumpulan ini belum memperlihatkan kemampuan menampilkan pemimpin muda yang memikat.
Sehingga kini, pemimpin muda Amanah masih belum menampakkan kemampuan mereka untuk sebaris dengan pemimpin-pemimpin muda lain dalam parti rakan mereka.
Amanah wajar membuat satu pelan strategik bagi menyusun kekuatan di kalangan anak muda mereka untuk menguasai setiap bidang yang menjadi perhatian masyarakat dan memberi impak kepada negara.
Muka-muka baru yang mempunyai potensi harus diketengahkan sebagai duta parti mereka.
Amanah juga harus berhadapan dengan gelanggang dan acara yang lebih kreatif untuk menarik perhatian masyarakat Malaysia keseluruhannya.
Dalam banyak siri ceramah yang dianjurkan, Amanah dilihat masih bermain dengan format lama; mengulas isu semasa dengan skrip yang sudah diketahui umum, menghentam watak-watak tertentu dalam barisan kerajaan dan beberapa lagi kaedah yang mungkit mencuit hati pendengar tetapi kurang menghidangkan sebuah idea segar.
Amanah harus bergerak dengan lebih cepat. Mereka harus membuktikan anak muda mereka berkualiti dan mampu berdepan dengan masyarakat serta bersedia dengan idea bernas untuk menyelesaikan masalah rakyat.
Dan sudah tentu perkara ini memerlukan ‘kerja rumah’ sebelum ia dikemukakan. Anak muda tidak seharusnya hanya digunakan sebagai pemacak bendera dan penyusun kerusi apabila sesuatu majlis hendak diadakan.
Justeru, diharapkan pandangan masyarakat yang melihat Pemuda Amanah kurang menyengat harus diambil positif dan diambil tindakan.
Jangan pula diberi alasan dengan mengatakan parti kami baru berusia tiga bulan kerana tawaran anda kepada rakyat tidak pernah menyentuh soal usia parti. Jangan pula nanti rakyat membalas, kami tidak boleh undi anda kerana usia anda baru setahun jagung.
-detikdaily-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan