Mohamad Fadli
PUCHONG: Lebih 200 orang Ketua UMNO cawangan yang mendesak Presiden Parti, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan, mengakui pergerakan itu semakin berkembang dengan lebih banyak sokongan.
Ketua Cawangan Bandar Putri Puchong, Mohd Shukor Mustaffa mengingatkan agar kepimpinan tertinggi UMNO tidak memandang ringan desakan itu lagi memandangkan ia boleh menjatuhkan Najib dalam jangka masa sebulan dua lagi
Ketua-ketua cawangan UMNO katanya, sedang merangka beberapa rancangan yang melibatkan jumlah penyertaan yang lebih besar dalam gerakan itu.
“Kita akan susun beberapa aktiviti yang lebih besar daripada ini.
“Asalnya 34 cawangan, tetapi hari ini lebih 800 hingga 1000 ketua cawangan UMNO yang menyertai kami dalam desakan Najib berundur.
“Jika kami ada kuasa mengundi dia jadi Presiden, maka kami juga ada kuasa menolaknya dan ia akan dilakukan dalam masa sebulan dua,” katanya dalam satu sidang media di Kinrara Golf Resort.
Dalam pada itu, ketua cawangan UMNO Teluk Kemang pula mengesahkan pihaknya akan dihadapkan ke Tribunal Disiplin parti ekoran desakan secara terbuka mengajak Najib berundur.
Ketua Cawangan Taman TKK Teluk Kemang, Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, tindakan itu diambil berikutan kepimpinan UMNO berasa tercabar dengan desakan terhadap Najib itu.
Tambahnya, ia bukti kepimpinan UMNO bimbang dan tindakan pantas diambil oleh majlis tertinggi parti.
“Saya nak tanya, kalau desakan itu tidak berkesan, kenapa sembilan orang dalam kalangan mereka yang telah membuat sidang media di Teluk Kemang telah dihantar surat tindakan tataterib?
“Sembilan orang itu akan dihadapkan ke tribunal disiplin oleh UMNO pada Rabu ini jam 2.30 petang,” katanya.
Beliau ditemui dalam satu sidang media bertema, “Perjuangan Mendemokrasikan UMNO, berani kerana benar, kami sayangkan UMNO” oleh 200 ketua Cawangan UMNO Malaysia.
Sebelum ini, kepimpinan tertinggi UMNO mengeluarkan kenyataan bahawa desakan terhadap Najib tidak memberi sebarang kesan.
-fmt-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan