Lanhh
RAKAN saya, Saudara Aziz Desa, 50, meninggal dunia pagi Ahad (27 Disember) lalu. Marilah kita bersama-sama berdoa agar rohnya ditempatkan dalam kalangan insan pilihan Allah SWT. Semoga Allah SWT meredai dan menerima amalan baik dan mengampuni dosa-dosanya, amin. Al-Fatihah.
Kali terakhir saya bertemu Aziz yang sakit September lalu.
Saya sedih dan terharu melihat kawan saya cengkung, kurus dan tidak bermaya di atas kerusi roda di rumahnya di sebuah taman perumahan berhampiran Masjid al-Hana di Kuah, Langkawi. Itu ketentuan Ilahi, kita sebagai makhluk-Nya perlu reda dan banyak bersabar, demikan antara kata-kata semangat saya kepada Aziz. Kini Saudara Aziz sudah pergi, kita pun akan mengikuti jejaknya...hanya masanya kita tak tahu.
Allahyarham Aziz Desa, saya dan sejumlah lagi wartawan pelatih (saya terlupa jumlah sebenar, mungkin 10 orang) mula bekerja serentak di sebuah akhbar harian nasional pada penghujung 1986.
Sebelum tahun itu berakhir, kumpulan kami dihantar mengikuti kursus bina semangat (team building) di Mimaland, Gombak.
Hari ini resort yang masyhur pada 1970-an dan 1980-an (termasuk lokasi membikin filem) ini hanya tinggal kenangan; ia sudah mati!
Pada suatu malam ketika kursus, kami dikehendaki membincang dan membahaskan sesama kami satu topik dan cabarannya adalah kami (semua peserta) perlu menyetujuinya (mencapai kata sepakat) yang kemudian akan diserahkan kepada fasilitator untuk dinilai.
“Bermodalkan” semangat pekerja baru (belum dapat gaji pertama pun) dan kami mudamuda belaka, kami pun mula berbincang dan berbahas secara baik tetapi lama kelamaan bukan persetujuan pendapat yang kami capai tetapi perbalahan yang semakin lama semakin besar jurangnya. Malam kian larut tetapi perbahasan makin panas.
Ia berlanjutan melepasi jam 12.00 tengah malam.
Peserta “gian berbahas” terus bercakap dengan hebatnya, tetapi sesetengahnya seperti saya sudah naik bosan. Saya berkali-kali menguap. Aku nak tidur, aku nak ZZZZZZ, bisik hati saya. Apalah kau orang ni, nak berbahas tunggulah esok. Bila agaknya aku dapat tidur sedangkan pada siang hari tadi pelbagai aktiviti memenatkan dijalankan; esok harinya jam 6.00 pagi perlu bangun untuk solat Subuh dan membuat tugasan lain pula.
Jam sudah pukul 2.00 pagi; saya meradang, apabila ada kesempatan, saya bangun seterusnya berkata (perkataan sebenar saya tak ingat): “Bukankah fasilitator mahu kita mencapai kata sepakat sesama kita. Sekarang sudah pukul berapa dah? Kalau macam ini, tak capai kata sepakatlah. Tak tidurlah malam ni. Apa kata kita semua bersepakat bahawa kita mahu menamatkan perbahasan ini dan pergi tidur. Ya kita semuanya bersepakat untuk pergi tidur!”
Semua peserta terpinga-pinga.
Mereka sudah berbahas berjam-jam lamanya tetapi tiada kata sepakat;
sekarang terbuka peluang untuk berbuat demikian. Namun hal ini pun tidak disepakati, berlaku lagi pergaduhan – ada yang mahu pergi tidur dan ada pula berkata orang yang mahu pergi tidur itu tidak mengenang budi– syarikat sudah buat banyak membuat kebajikan termasuk menyediakan kami penginapan dan makan minum tetapi kita pula ambil mudah apabila mahu pergi tidur!
Macam mana ni, berlaku perbalahan hangat lagi, akhirnya jam 3.00 pagi kami membuat undian. Keputusannya kami sepakat untuk menamatkan perbincangan dan pergi tidur. Bagi diri Allahyarham Aziz Desa, saya tidak ingat dia sokong kumpulan mana. Kami sampaikan keputusan kesepakatan (pergi tidur) kepada fasilitator; mereka tak kata apa-apa namun mereka membiarkan saja kami pergi tidur.
Sehingga hari ini, saya tidak tahu sama “kesepakatan” kami itu betul atau tidak. Ia masih menjadi misteri. Namun menurut perkiraan (pandangan) saya langkah kami itu betul, kerana fasilitator sengaja membiarkan kami berdebat berjam-jam lamanya. Ya mereka sedang menguji kami kerana maklumlah manusia memang susah mencapai kata sepakat, asyik nak bergaduh saja. Dalam al- Quran ada dinyatakan jika berlaku perselisihan, kembalilah kepada Allah dan Rasul-Nya (al-Quran dan hadis) sebagai kata pemutus!
Sekali lagi, pembaca sekian marilah kita sedekahkan bacaan al-Fatihah buat Allahyarham Aziz Desa. Semoga Allah SWT merahmatinya.
-detikdaily-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan