KEMPEN di media sosial giat dilakukan bagi mengumpul dana untuk membantu keluarga seorang guru Muslim yang terbunuh ketika melindungi penumpang Kristian dalam serangan kumpulan bersenjata Somalia, al-Shabab, lapor Al Jazeera.
Salah Fatah dianggap hero sebenar apabila ditembak gara-gara mempertahankan rakannya yang beragama Kristian ketika di dalam bas yang dalam perjalanan dari Mandera ke Nairobi, bulan lalu.
Salah menghembuskan nafasnya yang terakhir Ahad lalu akibat luka tembakan itu dan meninggalkan isterinya yang sedang sarat mengandung dijangka bersalin minggu depan dengan empat orang anak yang berusia dua hingga 10 tahun.
Selepas kematiannya, kempen secara online dimulakan untuk mengumpul dana untuk keluarga Salah.
Aktivis berusia 26 tahun, Abdullahi Derow memberitahu Al Jazeera Salah adalah hero mereka dan memulakan kempen di Twitter dengan hashtag #HeroSalah.
“Dia satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya. Ayahnya sudah tua dan anak-anak masih keci. Saya fikir bagaimana kami dapat membantu keluarganya. Bukan setakat apa yang dia buat untuk rakyat Kenya tapi juga untuk kemanusiaan,” katanya yang mendapat kebenaran daripada sepupu Salah, Rashid yang kini menjadi penjaga anak-anak Salah sebelum melancarkan kempen itu.
Salah merupakan guru di Sekolah Rendah Mandera Township.
Menurut Rashid, Salah seorang lelaki yang dihormati, alim dan baru sahaja ditawarkan naik pangkat sebagai timbalan guru besar.
Setakat ini, kempen itu berjaya meraih kira-kira USD1,460.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan