DARI Huzhaifah bin Al-Yaman (ra) berkata, “Manusia biasa bertanya pada Rasulullah s.a.w. tentang kebaikan, sedang aku bertanya kepada beliau tentang kejahatan, kerana khuatir akan menimpaku.” Saya bertanya, “Wahai Rasulullah, kami dahulu pada masa Jahiliyah penuh dengan kejahatan, kemudian Allah mendatangkan kebaikan ini (Islam). Apakah setelah kebaikan ini ada lagi keburukan?” Rasul s.a.w. menjawab, “Ya.” Saya bertanya: “Apakah setelah keburukan itu ada kebaikan?” Rasul s.a.w. menjawab, ”Ya, tetapi ada dukhan.”
Saya bertanya: “Apa dukhan itu?” Rasul s.a.w. menjawab, ”Kaum yang mengambil hidayah dengan hidayah yang bukan dariku, engkau kenali dan engkau ingkari (lawan mereka).”
Saya bertanya, ”Apakah setelah kebaikan itu ada keburukan?”Rasul s.a.w. menjawab, “Ya, tetapi ada para penyeru ke neraka jahanam; barang siapa yang menyambut seruan mereka, maka akan ke neraka, maka mereka melemparkannya ke dalam neraka.”
Saya bertanya, “Ya Rasulullah, terangkan ciri mereka pada kami?” Rasul s.a.w. menjawab, “(Kulit) mereka sama dengan kulit (bangsa) kita, bercakap sesuai dengan bahasa kita.” Saya bertanya, “Apa yang engkau perintahkan padaku jika aku berada pada situasi itu?” Rasul s.a.w. bersabda, “Komitmen dengan jemaah muslimin dan imamnya.”
Saya bertanya, “Jika tidak ada pada mereka jemaah dan imam?” Rasul s.a.w. menjawab, “Tinggalkan semua firqah itu, walaupun engkau harus menggigit akar pohon sampai menemui kematian dan engkau tetap dalam keadaan tersebut.”
(Hadis Sohih riwayat Imam al- Bukhari dan Muslim) Merujuk kepada penerangan Imam an-Nawawi dan lain-lain kepada hadis di atas, kita boleh membuat beberapa kesimpulan ringkas seperti berikut:
1. Keadaan Jahiliyah sebelum Islam penuh dengan kejahatan dan keburukan. Oleh itu Nabi (s.a.w.) sentiasa mengelak perbuatan-perbuatan Jahiliyah.
2. Islam di zaman Rasulullah (s.a.w.) adalah Islam yang murni dan tulen, sekali gus ianya pujian ke atas sahabat-sahabat Rasulullah (s.a.w.) yang diajar oleh Rasul dan beramal Islam seperti ianya diturunkan.
3. Zaman Ali (r.a) selepas pembunuhan Othman (r.a) adalah zaman keburukan yang dicemari perpecahan dalam kalangan umat Islam.
4. Zaman Muawiyah adalah zaman kebaikan di mana umat Islam telah bersatu semula.
5. Zaman Muawiyah dan seterusnya dicemari oleh dukhan (asap), di mana Islam bercampur dengan perkara-perkara bukan Islam, Sunnah bercampur dengan bidaah. Inilah maksud: ”Kaum yang mengambil hidayah dengan hidayah yang bukan dariku, engkau kenali dan engkau ingkari mereka.” Di dalam riwayat lain disebutkan: “Imam-Imam yang tidak mengikut petunjukku, dan tidak mengikut sunnahku.”
6. Selepas zaman Muawiyah, keadaan Islam makin bertambah teruk sehinggakan muncul Syaitan bertopengkan Islam memanggil ke jalan Neraka.
Mereka muncul daripada kaum itu sendiri, tetapi berdakwah kepada kesesatan dan kekufuran. 7. Nasihat Rasulullah (s.a.w.) kepada umat akhir zaman agar terus berpegang kepada kerajaan Islam yang ada dan Imamnya.
8. Sekiranya tiada kerajaan, maka tinggallah semua kelompok-kelompok yang tidak mengikut al-Quran dan Sunnah dan bersabar.
9. Dicela sesiapa sahaja yang menjadikan sebagai agama sesuatu yang bertentang dengan al-Kitab dan Sunnah
10. Wajib membantah kebatilan yang bertentangan dengan petunjuk Nabi, walau siapa pun orang yang mengajak kepadanya. Oleh itu, janganlah kita terkejut sekiranya ada di antara amalan, atau kepercayaan yang kita sudah lama pegang dan amalkan dalam masyarakat orang Islam, tetapi pada hakikatnya, bukan menurut petunjuk Nabi Muhammad s.a.w.
Inilah juga salah satu sebab yang sangat penting umat Islam berada di dalam kehinaan dan lemah.
-detildaily-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan