Lakukan kelucahan terlampau terhadap tiga tahanan, anggota polis ini mengaku tidak bersalah

FMT Reporters
polis
KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan kelucahan terlampau terhadap tiga tahanan lelaki bawah umur, dua minggu lalu.

Lans Koperal Mohd Khairul Hisam Azis, 31, mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu selepas ia dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mahyudin Mohmad Som.

Mohd Khairul didakwa melakukan kelucahan terlampau terhadap tiga remaja berumur 14, 15 dan 16 tahun itu yang merupakan tahanan lokap bagi kes pergaduhan di dalam lokap berpusat Jinjang di sini antara pukul 1 pagi hingga 5.30 pagi, 10 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin menawarkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan, bagaimanapun peguam Mohd Syazwan Mohd Salleh memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya perlu menyara isteri dan dua anak.

Majistret Mahyudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 19 Mei untuk sebutan semula kes.
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan