Gengster bertatu di muka hijrah lepas mimpi kiamat (Gambar)

Muhd Fadhil
GARA-gara mimpi hari kiamat seorang gengster dari negara jiran yang dikenali dengan nama 'Abang Long Fadhil' atau nama sebenarnya Muhd Fadhil, 29 kini memilih untuk kembali ke jalan ALLAH SWT.

Meskipun kehadirannya di masjid mahu pun surau sering mengundang pandangan sinis berikutan penampilannya yang bertatu termasuk di wajah, namun tekad sudah dibulatkan dan beliau tidak ambil pusing lagi.

“Pada Januari 2014, saya mimpi hari Kiamat. Dalam mimpi itu saya sedang berhibur di pantai, minum arak dengan kawan-kawan, tiba-tiba ombak tinggi datang dan saya jerit ajak kawan-kawan lari dan saya terus lari. Apabila saya toleh belakang, semua kawan saya tak ada, ombak setinggi lapan tingkat tadi pun tak ada.

“Saya tak keluar rumah sebulan lepas mimpi itu. Saya takut mati. Satu hari kawan telefon tanya nak pergi masjid atau tak. Ketika itu saya tersentak sebab kalau saya keluar rumah saya mati dan kalau saya tidak keluar rumah, saya pasti mati.

“Tapi seminggu, dua minggu saya pergi masjid, bertemu jemaah tabligh dan mula berhijrah. Namun masih belum lagi mencari ALLAH dengan sempurna. Selepas genap 40 hari bersama mereka, saya benar-benar yakin Keesaan ALLAH SWT itu,” katanya melalui rakaman video yang disiarkan Ar-Rahman TV.

Fadhil turut memberitahu beliau mengambil masa selama lapan bulan hanya untuk belajar surah al-Fatihah.

“Saya kalau cakap orang tak percaya. Bukan mudah untuk saya hafal. Tapi betullah ALLAH itu benar... susah nak cakap.

“Orang kata hari-hari minum manis boleh potong kaki tapi kemanisan iman yang ALLAH beri itu tak akan potong kaki. Kemanisannya itu dapat dirasai dalam hati... sayunya semacam,” katanya.

Bercerita kisah hidupnya, Fadhil memberitahu, tatu pertama yang dicacah pada tubuhnya seawal usia 12 tahun dan terakhir pada usia 22 tahun iaitu pada wajah dan lehernya.

“Tatu pertama nama saya, Fadhil di tangan. Tapi paling sakit di dahi dan leher ini. Ini semua kawan-kawan tolong buatkan.

“Pertama kali saya ditahan pada usia 12 tahun sebab pukul budak berusia 14 tahun dan mak ayah budak itu membuat laporan polis. Saya anggap masa lalu saya itu sebagai mimpi ngeri dalam hidup saya,” katanya.

Mengakui ramai rakan-rakan lamanya yang berbangsa Cina terkejut dengan perubahannya, namun, mereka masih beri sokongan moral meskipun sudah tidak lagi bersama mereka.

Dalam nada sayu, Fadhil mengakui telah banyak melukakan hati ibunya dan jalan baharu dipilihnya itu selain demi ALLAH, ia juga demi untuk menggembirakan si ibu.

Sementara itu, ibu Fadhil dalam rakaman tersebut memberitahu meskipun anak lelakinya itu memilih jalan hitam namun beliau tidak ‘membuangnya’.

“Saya anggap ini cubaan dari ALLAH untuk melihat penerimaan kita. Sepatutnya kita doakan untuk dia bukan menyumpah seranah.

“Insya-ALLAH akan dimakbulkan tapi bukan dalam masa yang singkat. Lihat sekarang, ALLAH sudah menjawab. Sekarang saya sudah tenang,” katanya mengalirkan air mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan