KUALA KANGSAR: Seramai 27 pekerja sebuah pasar raya besar di Ipoh gempar apabila enam rakan mereka berusia lingkungan 18 ke 28 tahun diserang histeria ketika berada dalam bas dalam perjalanan ke tempat kerja.
Kejadian kira-kira jam 9 pagi itu menyebabkan pemandu bas terpaksa memberhentikan bas yang dalam perjalanan dari Kamunting ke Ipoh itu di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak kerana keadaan dalam bas semakin kelam-kabut.
Saksi yang enggan dikenali ketika ditemui berkata, kejadian bermula ketika bas itu berada di Bukit Gantang apabila salah seorang daripada mereka menjerit dipercayai mengalami histeria dan keadaan semakin teruk apabila beberapa penumpang lain turut mengalami gangguan sama.
Salah seorang penumpang bas pula berkata, dia ada terlihat kelibat lembaga hitam masuk ke dalam bas semasa dia berseorangan dalam bas tersebut kerana menunggu rakan lain ketika di Kamunting.
Begitu pun, dia tidak mengesyaki apa-apa pada waktu itu kerana beranggapan mungkin tersalah pandang atau mungkin perasaannya sahaja.
“Bila saya lihat rakan-rakan saya mengalami histeria, saya yakin kelibat yang saya nampak pada awal pagi tadi ada kena mengena dengan insiden yang berlaku hari ini (semalam).
“Kejadian berlaku semasa kami dalam perjalanan ke tempat kerja. Mula-mula seorang saja kemudian berjangkit ke orang lain pula,” katanya.
Seorang lagi penumpang bas berkata, sebelum kejadian, salah seorang mangsa ada bercerita tentang kisah hantu dan memberitahu rakannya pernah mengalami histeria.
“Sebaik saja dia habis cakap, dia terus menjegilkan matanya dan mula meracau. Keadaan masa itu memang menakutkan sebab pertama kali saya mengalami situasi seperti ini.
“Bila sampai saja di kawasan R&R Sungai Perak, kami membawa mereka turun dari bas. Kawan-kawan lelaki penat kerana terpaksa menahan mangsa sebab ada mangsa yang menari dan ada juga yang cuba melarikan diri,” ujarnya.
Sempat hantar SMS
Dalam pada itu, salah seorang ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, anaknya yang berusia 18 tahun sempat menghantar pesanan ringkas kepada kakaknya memberitahu ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya.
Menurutnya, anaknya pernah mengalami gangguan sama ketika pulang dari kerja, kelmarin, namun gangguan tersebut tidak begitu teruk seperti semalam.
Malah, katanya, gangguan itu sudah bermula sejak Rabu lalu, namun pada hari tersebut, hanya seorang pekerja yang mengalami histeria.
“Dia ada hantar mesej pada kakaknya beberapa minit sebelum jam 8 pagi dan mengatakan berasa sakit kepala, mata tidak boleh buka dan bahu terasa berat. Kakak dia hantar mesej pada saya dan saya terus ke sini (R&R Sungai Perak) bila dapat tahu anak saya berada di sini,” ujarnya.
Tindakan pantas pemandu
Menurut pemandu bas yang dikenali sebagai Tan, 60, dia terkejut melihat salah seorang daripada penumpang tiba-tiba menjerit dengan kuat seolah-olah dirasuk sebaik tiba di persimpangan jalan Kuala Kangsar.
Katanya, gangguan tersebut merebak kepada beberapa penumpang lain selang beberapa minit kemudian dan menyebabkan suasana dalam bas menjadi kelam-kabut.
“Kalau ikutkan saya ingin berhenti di tepi lebuh raya sebaik saja mereka menjerit, namun bila difikirkan semula, berhenti di tepi jalan mungkin mengundang lebih banyak bahaya.
“Jadi, saya membuat keputusan untuk berhenti di kawasan rehat dan rawat berhampiran. Sepanjang 30 tahun saya membawa bas, kejadian ini pertama kali terjadi pada saya. Tidak tahu nak gambarkan bagaimana perasaan saya pada waktu itu,” katanya.
Sementara itu, seorang pengamal perubatan Islam dari Darul Syifa yang membantu merawat mangsa berkata, dia mendapat panggilan mengatakan ada beberapa orang mengalami histeria di kawasan itu.
“Sebaik saja saya tahu berita tersebut, saya bergegas menuju ke tempat kejadian. Bila saya sampai, saya lihat beberapa mangsa menjerit-jerit dan meracau.
“Saya tidak pasti gangguan tersebut berpunca daripada mana tapi bolehlah dikatakan mereka diganggu makhluk halus,” jelasnya.
Dalam pada itu, seorang daripada mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk menerima rawatan dan selebihnya dibawa pulang oleh keluarga masing-masing.
-sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan