Apa punya suami bogelkan isteri untuk tatapan jiran-jiran

Isteri berhadapan detik mengerikan dibogel suami baran
KOTA BHARU – Azab buat seorang wanita bersuamikan lelaki baran apabila terpaksa menanggung malu selepas dibogelkan di hadapan rumah hingga menjadi tatapan jiran tetangga dalam kejadian di Ketereh, di sini.

Terbaru, mangsa yang berusia 31 tahun itu turut mengalami lebam pada paha dan lengan serta bengkak di muka dan dahi kerana dipukul suami yang berusia 50 tahun itu pada jam 5.30 petang, 24 Jun lalu.

Ibu kepada seorang anak berusia tiga tahun itu berkata, kejadian dia dibogelkan itu berlaku pada awal Jun lalu.

Katanya, ketika itu, dia baru selesai mandi dan suaminya tiba-tiba berang bertindak mengoyakkan baju serta mengheretnya ke hadapan rumah dalam keadaan seluruh tubuh badan terdedah tanpa seurat benang.

“Ketika itu saya bergantung (memeluk) pada kakinya, menyembahnya, merayu, namun dia tetap membiarkan saya di luar rumah dalam keadaan memalukan begitu. Saya dibiarkan begitu kira-kira 15 minit,” katanya.

Menurutnya, ada jiran tetangga dan orang ramai yang lalu-lalang di hadapan rumah melihat diri serta maruahnya ‘dihina’ sedemikian. Terdapat juga jiran yang melihat kejadian itu dari dalam rumah, namun mereka takut untuk membantu.

Katanya, sebelum ini dia kerap kali dipukul suami sejak mereka mendirikan rumah tangga empat tahun lalu sehingga berasakan bingung serta trauma dengan penyeksaan itu.

“Terbaru, saya dipukul teruk sekali hanya kerana menukar namanya dalam telefon bimbit daripada suami kepada nama panggilan sahaja. Selepas kejadian itu, saya nekad membuat laporan polis bimbang perkara lebih buruk berlaku,” katanya.

Katanya, suaminya seorang yang bertanggungjawab dari segi perbelanjaan rumah serta menyayangi anaknya, cuma panas baran lelaki itu bertambah selepas berkahwin dengan seorang wanita lain, baru-baru ini.

“Saya sedar diri hanya seorang suri rumah, tidak berpelajaran, tidak berharta, orang susah selain hidup sebatang kara, namun, tidak wajar saya menjadi mangsa pukul.

“Jangan fikir apabila cukup memberi nafkah, kemudian suami boleh memperlakukan sesuka hati pada isteri. Hinggakan saat ini saya berasa trauma dengan kejadian yang menimpa diri,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintenden Setapa Yusoff mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
-sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan