Bukan Anwarinas
Hari ini genap 526 hari atau setahun lima bulan enam hari saudara Anwar Ibrahim kembali disumbat ke penjara selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan beliau bersalah atas tuduhan liwat pada tahun lalu. Dihenyak dengan hukuman lima tahun masa di sebalik tirai besi dan larangan menyertai politik juga pada tempoh sama selepas bebas.
Selama 526 hari pemenjaraannya, iklim politik tanah air berubah sama sekali. Terutama dalam blok pembangkang sendiri. Pemergian Datuk Nik Aziz Nik Mat, perpecahan Pakatan Rakyat, konflik dalaman PAS yang menumbuhkan Amanah, tak kurang juga munculnya blok kecil dalam PKR sendiri.
526 hari berlalu, satu pilihan raya negeri dan tiga pilihan raya kecil berlangsung menyaksikan cengkaman rejim makin ampuh dan menggila corak pemerintahannya yang saban hari kian mencengkam rakyat.
Saya tidaklah ingin membincangkan secara lanjut perkara di atas selain daripada topik berkaitan tajuk “Siapa selepas Anwar?”
Satu hal yang tidak mampu dinafikan sesiapa ialah di balik kelemahan personaliti kepimpinan dalam BN, blok pembangkang juga dilihat tidak mempunyai persediaan untuk melahirkan seorang lagi Anwar Ibrahim di pentas persada politik tanah air.
Kekurangan ini walaupun cuba diatasi dengan kewujudan pelbagai sekolah aliran politik seperti Sekolah Demokrasi oleh DAP, Sekolah Politik oleh PKR dan beberapa platform lagi namun impaknya masih gagal untuk menghampiri atau menyamai seorang sosok Anwar.
Benar, kita punya pemimpin muda yang hebat seperti Rafizi Ramli, Tony Pua, Nurul Izzah, Young Syefura dan ramai lagi namun mereka ini tidak mempunyai aura atau karakter untuk menjadi seperti Anwar.
Kehebatan Anwar bukan saja diiktiraf daripada gaya kepimpinannya yang berjaya menyatukan Pakatan Rakyat sebelum ini tetapi juga mampu menjadikan kerjasama antara kaum yang kukuh di bawah payung menentang kebobrokan Umno BN.
Stail karismatik dan kredibilitinya memacu Pakatan Rakyat sebelum ini, menyaksikan hubungan antara kaum menjadi paling kukuh dalam sejarah. Setiap anak Malaysia dengan satu tujuan, menumbangkan rejim kerajaan.
Benar juga, kita tidak boleh menafikan Anwar adalah x-factor kepada kebangkitan rakyat. Baik daripada zamannya sebagai mahasiswa dalam demonstrasi Baling, membawa kepada himpunan Reformasi 98 yang menggegarkan tanah air, hinggalah kepada PRU pada 2008 yang menyaksikan lima negeri dikaut pembangkang.
Namun, kesilapan terbesar para penyokong dan pimpinan Pakatan Harapan adalah terus mengharapkan kepada sosok bernama Anwar ini untuk terus menerajui pakatan dan masih berimpian beliau menjadi PM apabila BN tewas kelak.
Idealis namun amat tidak realistik dalam mengambil kira situasi kini. Dalam tempoh 526 hari berlalu kerap Anwar dihantar ke hospital menerima rawatan penyakit di hadapinya. Jelas memberi isyarat keadaan kesihatannya yang tidak memuaskan. Dan makin merosot.
Sewajarnya Pakatan Harapan wajib mempunyai seorang anak muda yang dibentuk khas sebagai pengganti dan mempunyai karisma seperti Anwar. Bukan lagi terus bermimpi untuk Anwar memimpin.
Ramai berpendapat calon pengganti Anwar dan menyebut nama-nama seperti Rafizi, Izzah, Datuk Husam Musa, atau Salahuddin Ayub. Namun saya berpendirian mereka ini tidak mampu atau mempunyai aura seperti Anwar yang mampu menarik ribuan orang terpaku padanya meskipun nama-nama yang disebut tak kurang hebatnya.
Kenapa tidak? Rafizi meski bijak namun tidak disukai sebilangan ahli parti sendiri. Izzah pula mengalami lemahnya sokongan kerana status sebagai perempuan yang masih di bawah dogma masyarakat, Husam pula dibuang parti sendiri. Sedang Salahuddin tiada kekuatan sebagai pemimpin.
Harus diingat, Anwar bermula sebagai mahasiswa. Yang bermula daripada isu masyarakat (demonstrasi Baling). Maka seharusnya penggantinya juga haruslah seorang mahasiswa yang pada saat memakai jubah pelajar lagi sudah berhanyir dan berlumpur berjuang isu masyarakat.
Sejujurnya, saya melihat ciri-ciri Anwar kedua ini pada seorang anak muda. Anak muda yang menggegarkan negara tatkala kad matriks masih tergantung di lehernya. Anak muda yang menjadi x-factor kebangkitan mahasiswa universiti untuk berani melawan ketika sebelumnya gerakan ini tepu dan lemau.
Saya juga menjadi saksi mata sendiri ketika malam solidariti terhadapnya di sebuah penjara di ibu kota, bilangan penyokong yang tidak pun sebangsa dan seagamanya mencecah lebih 70%. Jauh lebih banyak daripada dokongan bangsanya sendiri!
Saya juga menyaksikan sedari itu, nama disebut-sebut, dibawa ke sana ke mari oleh pelbagai parti untuk bercakap di pentas ceramah, berbicara bahasa politik. Ajaibnya setiap kali dia hadir, audiens sanggup bersimpuh dan bersila. Malahan dia bukan saja disegani kaum sendiri bahkan disayangi kaum lain.
Menyoroti kembali aura persis Anwar Ibrahim, saya yakin anak muda ini yang gayanya sudah terikut Anwar jika terus dibimbing dan ditonjolkan maka kita akan mendapat Anwar Ibrahim kedua yang muda, bersemangat waja, punyai wawasan dan cita-cita, dan jauh lebih penting ialah merendah sepertimana Anwar.
Jauh lebih daripada semua itu yang menyamakan Anwar ketika zaman muda dan beliau adalah mereka berdiri di sisi sosok hebat yang sama iaitu Hishamuddin Rais.
Bak kata seorang teman, “Adam Adli jika dia ubah sedikit kebiasaannya sekarang, dialah Anwar yang kita cari.”
Ketika artikel ini ditulis, genap seminggu sejak bekas diktator Malaysia dinamakan sebagai ketua pembangkang yang baharu. Sewajarnya, pengganti Anwar ialah anak muda penuh misi dan visi jelas berbanding seorang tua yang lagak politiknya mahu menutup seribu dosa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan