Suami pukul isteri hingga mati

NILAI - Seorang isteri maut dipercayai dipukul suami dan tiga rakannya yang lain di rumah sewanya di Flat Taman Semarak, di sini, 4 Julai lalu.

‎Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 malam itu, isteri mangsa berusia 25 tahun itu ditemui terbaring tidak bernyawa di ruang tamu rumah yang baru disewa dua bulan bersama tiga yang lain.

‎Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat dipukul dengan objek tumpul berikutan terdapat kesan luka dan darah di belakang kepala mangsa.

‎"Kita telah menahan suami mangsa berusia 22 tahun dan rakannya berusia 25 tahun sejurus kejadian.

‎"Hasil siasatan awal kedua-dua mereka mengaku memukul mangsa bersama dua lagi lelaki dan seorang perempuan yang dikenali,"katanya.

‎Menurutnya, suspek bertindak memukul mangsa dengan menggunakan helmet, kayu mop, kayu bulat dan payung.

"Suspek telah membuang barang-barang tersebut ke dalam Sungai Mahang bagi menghapuskan bukti.

‎"Suspek kemudiannya membuat report di balai polis dengan mendakwa isterinya ditemui tidak bernyawa selepas tiga hari dia tidak pulang ke rumah,"katanya.

‎Zaldino berkata, polis telah merampas barang-barang yang digunakan suspek yang ditemui ditepi dan dalam Sungai Mahang.

‎"Antara barang yang dirampas ialah dua batang cerut, satu kayu bulat, satu kayu mop, dua helmet, plastik hitam, payung, tuala putih dan tali pinggang.

‎"Semua barang ini dijadikan senjata memukul mangsa dan tuala digunakan untuk cuci dan lap darah mangsa ditempat kejadian,"katanya.

‎Menurutnya, dua lagi suspek iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan berusia 20-an telah ditahan di Selangor semalam, bagi membantu siasatan.

‎"Motif kejadian dipercayai cemburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
-sinarharian-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan