6 Remaja ditahan persenda solat (Gambar)


HANYA kerana mahukan perhatian dan popular, enam remaja dari Jepara, Jawa Tengah Indonesia ini sanggup mempersendakan solat dengan memuat naik gambar sedang solat di atas motosikal di laman Facebook.

Gambar sekumpulan remaja beraksi seperti bersolat di atas jalan raya dan seorang lagi menjadi imam berdiri di atas dua motosikal itu mencetuskan kemarahan orang ramai.

Susulan itu, polis tempatan menjalankan siasatan terhadap gambar yang dimuat naik Isnin lalu dan berjaya menahan enam remaja lelaki berusia 15 dan 16 tahun.

Detiknews melaporkan, Ketua Polis Daerah Jepara, Samsu Arifin berkata, hasil laporan orang ramai, keenam-enam remaja berkenaan ditahan sehari selepas gambar tersebut menjadi viral di laman sosial.

“Semua mereka dari satu sekolah dan ditahan di kediaman masing-masing menyebabkan ibu bapa mereka terkejut,” katanya.

Menurutnya, ketika disoal siasat semua remaja itu mengaku sengaja memuat naik gambar berkenaan kerana mahu menarik perhatian penguna laman sosial sekaligus menjadi terkenal.

“Mereka mengaku hanya mahu terkenal dan tiada niat untuk mempersendakan agama kerana mereka sendiri beragama Islam.

“Orang ramai kini perlu tahu yang mereka ini tidak mempunyai tujuan jahat dan tidak perlu resah lagi,” katanya.

Menurutnya, semua remaja itu dibebaskan selepas keterangan mereka diambil dan diminta datang semula ke ibu pejabat polis setiap Isnin dan Khamis untuk siasatan lanjut.

Polis juga menyita dua motosikal yang digunakan dalam gambar berkenaan sebagai bahan bukti. – MYNEWSHUB.CC

Tiada ulasan:

Catat Ulasan