Sara ketika menerima rawatan di hospital.
PENDANG - Seorang penuntut yang sedang mengikuti pengajian sarjana di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Selangor mengalami trauma selepas tiga hari dikurung dan diseksa oleh bekas teman lelakinya tanpa diberikan sebarang makanan, di sebuah rumah di Ampang, Selangor.
Sara (bukan nama sebenar), 27, kini berada bersama keluarganya di Kampung Banggol Kambing, Pendang, selepas seminggu menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, sejurus dibawa pulang dari Ampang.
Menurut Sara, pada Jumaat, 25 November lalu, bekas teman lelakinya yang dikenali sejak 10 tahun lalu datang ke rumah sewanya di Ampang pada jam 5 pagi.
“Saya enggan buka pintu tetapi dia pecah masuk rumah saya dan berlaku perbalahan yang berlarutan sehingga jam 8 pagi,” katanya.
Sara berkata, bekas teman lelakinya yang didakwanya juga anggota polis, mengesyaki dia ada membawa masuk lelaki ke dalam rumah.
“Dia tuduh saya bawa lelaki masuk rumah, jadi saya minta dia periksa bilik saya. Selepas gagal menjumpai sebarang bukti, dia kembali reda dan minta saya mengikutnya ke kereta pada jam 8 pagi itu.
“Saya tak nak tetapi selepas dipaksa, saya akur. Di parkir kereta, kami ada berbincang sesuatu dan berlaku sedikit perbalahan menyebabkan saya meninggikan suara dengannya.
“Disebabkan itu dia telah mengheret saya masuk ke dalam kereta dan membelasah saya.
“Saya cuba untuk meronta tetapi dia acukan pisau ke perut dan saya terpaksa diam,” cerita Sara.
Sara berkata, bekas teman lelakinya itu membawanya ke rumah sewanya di Klang.
“Setiba di sana, saya diheret masuk ke dalam bilik dan dipukul.
“Selepas puas dipukul, saya ditinggalkan semalaman seorang diri dengan pintu bilik berkunci.
Menurutnya, keesokan harinya (Sabtu), bekas teman lelakinya pulang dan berbual seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.
“Namun begitu, selepas dia dapat menghidu perbuatan saya menghubungi rakan meminta bantuan dia terus menikam bahu kiri dan kanan saya dengan pisau.
"Dia gari tangan saya dan ugut nak bunuh saya. Saya dah sakit sangat-sangat dan tak mampu nak buat apa-apa selain berdoa.
"Saya juga dipaksa minum cecair pelembut dan telah disemburkan penyembur serangga ke muka,” katanya.
Sara berkata, dia juga ditikam lima kali iaitu di bahu kiri dan kanan, di paha kiri dan kanan serta di lutut kiri, sehingga tidak mampu untuk bergerak.
“Saya hanya mampu lihat darah penuh di lantai. Sepanjang saya diseksa, saya ada terdengar perbualan telefon antara dia dan kawannya. Mereka rancang nak bunuh dan buang saya di Sungai Klang.
“Pada hari Ahad (malam) saya merayu pada dia untuk ke hospital sebab sakit sangat dengan darah tidak berhenti keluar.
“Pada mulanya saya dibawa ke hospital swasta dan dipindahkan ke Hospital Klang kerana dia tak mampu membayar kos rawatan,” katanya.
Semasa di hospital di Klang, Sara telah meminta pihak hospital menghubungi rakannya dan meminta rakannya untuk menghubungi keluarganya.
“Bila keluarga saya sampai, saya terus cerita perkara sebenar. Pada hari Selasa, saya pulang ke Kedah bersama keluarga dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk pembedahan mata," katanya.
Mengimbau sejarah lalu, Sara berkata, dia pernah dipukul pada 2009 dan menarik kembali laporan polis selepas kasihankan bekas kekasihnya itu.
“Kami sudah lama putuskan hubungan dan dia pun dah bertunang dengan wanita lain. Februari lalu dia putus tunang dan datang mengganggu saya semula,” cerita Sara.
Sementara itu, bapa Sara memberitahu anaknya masih trauma dengan kejadian itu.
Menurutnya, setiap malam dia akan pastikan anaknya itu tidur terlebih dahulu.
"Saya rasa sedih sebab sehingga sekarang lelaki terbabit masih lagi mengganggu anak saya dengan mesej yang berbaur pujukan dan ugutan.
“Saya tertanya-tanya apakah tiada tindakan undang-undang yang dikenakan kepada lelaki berkenaan,” katanya dengan nada kesal.
Menurutnya, Sara adalah anak harapannya kerana dia anak sulung daripada empat beradik.
“Saya nak pembelaan dan keadilan untuk anak saya serta jaminan keselamatan untuknya kerana dia perlu ke Ampang semula bagi menghabiskan pengajian sarjananya,” katanya.
Sara yang mengalami kecederaan teruk juga terpaksa menerima lapan jahitan di mulut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berkaitan kes berkenaan.
“Laporan berkaitan kes ini telah dihantar ke Balai Polis Pandan Indah dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 324 dan 506,” katanya.
-sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan