ARIF ATAN
Pemuda Parti Amanah Negara Negeri Sabah terus menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan kertas siasatan berhubung rampasan terbesar dalam sejarah badan itu membabitkan wang tunai dan aset bernilai lebih RM100 juta.
Ketua Pemudanya, Khairuddin Daud berkata, rakyat di Sabah yang masih ramai menghadapi masalah bekalan air mahukan penjelasan sebenar berhubung kes melibatkan pengarah dan timbalan pengarah di Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) itu.
"Paling menghantui rakyat di Sabah khususnya, mana dapat wang puluhan juta ringgit itu? Mungkinkah 'derma'? Milik siapa sebenarnya wang tunai bertimbun dalam kabinet seperti didedahkan tahun lepas sehingga terpaksa 30 anggota SPRM mengira wang tersebut (RM52 juta) selama 15 jam sampai pukul 3 pagi (5 Oktober 2016)?
"Oleh sebab itu, kami masih menunggu jawapan daripada SPRM mengenai permohonan kami sebelum ini meminta kertas siasatan didedahkan. Kami berharap pihak SPRM akan menunaikan permintaan yang juga adalah suara rakyat negeri ini," ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.
Menurutnya, masih banyak tanda tanya selepas SPRM menyatakan kes tersebut tiada unsur rasuah dan di luar bidang kuasa mereka sebaliknya disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
"Kami akur keputusan mahkamah yang mendakwa mereka di bawah AMLA namun apa yang menghairankan dan dipersoalkan mengapa bukan melalui Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah? Justeru, kami berharap SPRM akan segera memberi maklum balas," kata Khairuddin lagi.
Pemuda Pakatan Harapan (PH) Sabah pada 15 Januari lalu mendesak supaya SPRM mendedahkan kertas siasatan ke atas tiga orang pegawai JANS yang terbabit dalam skandal tersebut kepada umum untuk penilaian orang ramai.
Terdahulu, surat SPRM kepada Khairuddin bertarikh 29 Disember lalu turut memaklumkan "Tiada Tindakan Lanjut (NFA)" berhubung permohonan penjelasan membabitkan skandal rasuah agensi kerajaan negeri tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, sebahagian rakyat di luar bandar Sabah masih mengalami masalah bekalan air bersih. Antara kawasan terlibat adalah di Pulau Gaya walaupun terdapat projek bekalan air yang membabitkan peruntukan lebih RM100 juta.
Penduduk di penempatan tersebut sebelum ini dilapor kecewa kerana bekalan air bersih masih belum dinikmati walaupun projek terbabit disalurkan menerusi paip dasar laut dari tanah besar selain tangki utama yang sudah siap.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan