Bersatu sertai PH berita duka kepada BN, kata Pemuda Amanah
MALAYSIA DATELINE
Pemuda Amanah Nasional yakin keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai Pakatan Harapan merupakan berita duka kepada Barisan Nasional (BN) yang berusaha memecahkan kesatuan pembangkang.
Ketuanya Mohd Sany Hamzan berkata, penyertaan Bersatu ke dalam Pakatan Harapan semestinya diterima baik oleh masyarakat yang sangat berharap parti-parti pembangkang dapat mewujudkan kerjasama yang kukuh.
"Kini sudah tiba masanya untuk Amanah, PKR, DAP dan Bersatu bergerak seiring dengan lebih meyakinkan dalam membawa harapan rakyat untuk melihat satu perubahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.
"Ayuh bergerak secara sistematik dan bersama dengan satu tujuan iaitu menumbangkan kepimpinan kleptokrat dan Barisan Nasional," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Bersatu menerusi Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad secara rasmi mengumumkan penyertaannya menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan.
Bersatu dan Pakatan Harapan akan menggunakan satu logo, satu calon dan satu manifesto dalam gabungan kerjasama mega parti pembangkang di negara ini dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Mengulas lanjut, Sany berkata pihaknya meyambut baik keputusan tersebut memandangkan sejak awal lagi pimpinan Pakatan Harapan telah mengajak dan mengalu-alukan parti baharu itu untuk bersama dalam gabungan pembangkang bagi menghadapi BN.
"Pendirian terbaru Bersatu ini adalah satu perkembangan yang sangat positif ke arah mengukuhkan kesatuan, kebersamaan dan kekuatan jentera keempat-empat parti.
"Ini akan memudahkan lagi perancangan gerak kerja bersama di semua peringkat sama ada di nasional mahupun di peringkat bawahan," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan