MALAYSIA DATELINE
Zahid berpimpin tangan dengan Tuan Ibrahim selepas selesai seminar antarabangsa mengenai Rohingya di Hotel MARRIOTT, Putrajaya semalam.
Ketika Bersatu mengumumkan penyertaannya ke dalam Pakatan Harapan, hubungan antara Umno dan Pas diperkemaskan lagi menjelang pilihan raya umum ke 14 ini.
Semalam, kedua-dua timbalan presiden Umno dan Pas berpimpin tangan di majlis penutup seminar antarabangsa Rohingya di Hotel Marriott, Putrajaya.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membuat ucapan penutup di majlis itu turun dari pentas dengan berpimpin tangan dengan timbalan presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut menyertai seminar itu.
Dalam majlis itu, Ahmad Zahid Hamidi telah menerima resolusi seminar daripada Presiden Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail.
Yayasan Amal Malaysia adalah sebuah badan yang terletak di bawah naungan Pas.
Seminar selama tiga itu berlangsung dari 14 hingga 16 Mac 2017 anjuran bersama Kesatuan Ulama Muslim Sedunia, Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM), International Federation for Relief & Development (IFRD) dan Yayasan Amal Malaysia.
Pengerusi seminar, Husin Ismail, dalam suatu kenyataan medianya berkata, tema bagi seminar ini adalah “THE PLIGHT OF THE ROHINGYAN: SEARCHING FOR SOLUTIONS” dan ia mencakupi konflik yang dialami oleh etnik Rohingya.
Seminar ini juga dianjurkan bagi memahami sejarah etnik Rohingya, mencari, mengenalpasti masalah yang timbul seterusnya mencadangkan resolusi dan penyelesaian yang sebaiknya bagi meminimakan masalah yang berlaku.
Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama dengan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak duduk sepentas dalam himpunan untuk Rohingya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan