FMT Reporters
PETALING JAYA: Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz tidak mahu mempertahankan jawatannya yang disandang sejak sepenggal lalu bagi memberi laluan kepada muka baharu.
Beliau berkata, keputusan diambil bagi memberi laluan kepada kepimpinan Pemuda PAS yang lain untuk meneruskan perjuangan sayap itu.
Nik Abduh menerajui Pemuda PAS sejak pemilihan lalu yang diadakan pada 2015.
“Saya sudah sebut dalam Parlimen tempoh hari, saya tidak pertahankan. Biarlah mereka yang lain bertanding,” kata beliau dipetik Sinar Harian Online.
Timbalannya, Muhammad Khalil Abdul Hadi turut membuat keputusan tidak mahu mempertahankan jawatannya dan mahu berundur dari Pemuda PAS.
“Saya sendiri rasa saya pun mahu berundur di peringkat Pemuda PAS. Peluang akan dibuka kepada calon lain yang layak.
“Saya yakin dengan pengunduran saya dan ketua Pemuda sendiri, Pemuda PAS tidak akan ketandusan kepimpinan. Insya-Allah kita mempunyai ramai tokoh yang mampu meneruskan agenda yang diperjuangkan PAS,” ujarnya.
Pemilihan akan diadakan sempena Muktamar PAS Kali ke-63 yang dijadual berlangsung dari 29 April hingga 1 Mei ini.
Dalam pada itu, Sinar Harian Online juga melaporkan Nik Abduh tewas dalam pemilihan peringkat kawasan Pengkalan Chepa bagi sesi 2017/2019, semalam.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu gagal merebut jawatan Timbalan Yang Dipertua dari penyandangnya Dr Izani Husin yang mendapat 209 undi berbanding Nik Abduh yang memperoleh 37 undi.
Kerusi Yang Dipertua kawasan itu kekal milik timbalan menteri besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan