'Saya masih ingat kata Tok Guru Johor akan jadi kubur Umno'

ZIKRI ABDULLAH
Mazlan Aliman bergambar bersama Penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa dan penggerak parti selepas menaikkan bendera Amanah di simpang empat Ketereh
Mazlan Aliman bergambar bersama Penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa dan penggerak parti selepas menaikkan bendera Amanah di simpang empat Ketereh

Perkembangan politik negeri Johor yang menyaksikan Umno kini diasak dari pelbagai penjuru dan sasaran kebencian rakyat membawa suatu nostalgia kepada presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman.

"Ketika saya menjadi Ketua Pemuda Pas Johor, almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat datang berceramah di Benut dan kerana kedatangan hadirin tidak ramai saya memberitahu Tok Guru Johor ini kubu Umno.

"Tok Guru kemudian berbisik kepada saya katanya sekarang memang kubu Umno, Insya-Allah akan datang Johor ini akan jadi kubur Umno," cerita Mazlan di majlis pelancaran menaikkan bendera Amanah peringkat kawasan Ketereh yang dirasmikan oleh Penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa semalam.

Kerajaan Johor menurutnya kini berhadapan dengan keadaan paling tenat apabila pelbagai penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa sedang terbongkar satu demi satu.

"Seorang exco ditahan, sepatutnya bukan seorang tetapi semua sekali termasuk menteri besar," katanya mengulas penahanan Datuk Abdul Latif Bandi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac lalu.

Keadaan di Johor kini menurutnya sama dengan keadaan di Kelantan sebelum pilihan raya 1990 apabila program-program anjuran gabungan pembangkang mendapat sambutan luar biasa.

"Kini rakyat Johor berbondong-bondong menyertai Bersatu dan Amanah dan kelihatan telah sangat bersedia untuk menukar kerajaan dalam piihan raya akan datang," katanya.

Mazlan mengimbau kembali suasana di negeri Kelantan sebelum Barisan Nasional (BN) jatuh dan pentadbiran Kelantan diambil alih oleh Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

"Saya sentiasa mengikuti ceramah bersama Tok Guru dan merasai begitu ramai penyokong dari pelbagai parti bergabung menjatuhkan BN.

"Waktu itu saya mendapat begitu ramai teman-teman rapat untuk bersama menentang kezaliman, namun agak malang sikit sebahagian mereka nampak rapat dengan BN dan tidak lagi bersama kita," katanya.

Mengulas keadaan di kawasan-kawasan Felda beliau berkata perubahan mendadak dapat dilihat di mana-mana.

"Dulu bila saya nak datang ke kawasan Felda, pelbagai ugutan dan ancaman dibuat oleh pihak Felda dan polis.

"Namun kebelakangan ini peneroka-peneroka sendiri menjadi penganjur dan begitu ramai datang apabila saya berkunjung ke mana-mana kawasan Felda," katanya.

Tambah beliau, kesungguhan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri untuk turun ke kawasan-kawasan Felda menurut Mazlan pasti akan memberi impak besar berkaitan pola sokongan peneroka dalam pilihan raya akan datang.

"Tun tanya saya, berapa kawasan parlimen kita boleh dapat dalam pilihanraya ini.

"Saya beritahu Tun, kini kita ada 6 dan kalau kita dapat tambah jadi 16 dari 54 kawasan majoriti peneroka Felda di seluruh negara ia sudah cukup untuk membolehkan kita tawan Putrajaya.

"Tun tersenyum dan berkata Insya-Allah kita dapat lebih lagi," katanya.

Beliau yakin gelombang 1.5 juta peneroka Felda seluruh negara akan menamatkan pemerintahan BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan