Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat hari ini.
Tempoh kira-kira 30 minit sebelum Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) membentangkan Rang Undang-undang (RUU) 355 menyaksikan sidang Dewan Rakyat dilanda 'ribut' apabila berlaku pertikaman lidah antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.
Terdahulu, berlaku perdebatan antara Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) berhubung isu penyerahan notis dan saman pemula kepada Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia oleh anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abd Rahman semalam.
Bagaimananapun, beberapa ahli parlimen BN kemudiannya bangkit menjerit termasuk mengeluarkan maki hamun ketika Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) turut berdiri mempersoalkan RUU Hadi.
"Bisinglah. Duduklah. Ini provokasi hanya mahu kelirukan rakyat," jerit Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) manakala Datuk Othman Abdul (BN-Pendang) turut beberapa kali bangun memekik antaranya, "Makin tua, makin gila."
Kit Siang antara lain mempersoal sejauh mana pembentangan RUU 355 hari ini turut dipersetujui parti komponen BN lain.
"Ini permintaan kerajaan. Presiden MCA, Gerakan adakah setuju?" soalnya lagi diikuti sorakan bantahan berterusan daripada ahli parlimen kerajaan.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kemudiannya mengingatkan ahli parlimen duduk supaya Abdul Hadi dapat membentangkan RUU 355 yang tertangguh sejak tahun lalu.
"Ahli-ahli Berhomrat yang lain, politik itu bawa di luar sana. Jangan buat (gaduh) di sini," sebelum membenarkan Abdul Hadi meneruskan pembentangan pada pukul 11.38 pagi tadi.
RUU Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dengan meningkatkan had hukuman penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.
--------
Bukan Islam ganggu hak orang Islam, dakwa Presiden Pas
ARIF ATAN
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengaitkan masyarakat Islam di Malaysia seolah-olah dinafikan hak untuk mengamalkan pegangan agamanya ketika membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, cadangan pindaan Akta 355 hanya untuk meningkatkan hukuman maksimum pada yang hampir atau sepadan dengan hukuman syarak yang memang sudah termaktub dalam sumber-sumber hukum di bawah panduan al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias para ulamak.
"Kita sedia maklum, undang-undang sivil yang diwarisi daripada Suruhanjaya Reid warisan British dan terpakai sehingga hari ini menjadi undang-undang rasmi negara di mana Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi.
"Namun, kita ingin mengingatkan semua ahli dewan yang mulia ini juga, di bawah Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang sama juga, Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
"Dalam hal ini, tidakkah Ahli-ahli yang Berhormat terfikir, bagaimana rakyat beragama Islam di dalam negara sebenarnya seakan-akan dilarang tidak dapat mengamalkan agamanya sendiri dengan sepenuhnya dengan pembelaan yang dijanjikan oleh Islam, dalam keadaan mereka yang bukan Islam telah menganggu hak orang Islam mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya termasuklah syariat hukuman yang terkandung di dalamnya?" soalnya.
Berucap selama 20 minit sebelum sidang Dewan Rakyat berehat pada pukul 1 petang hari ini, Ahli Parlimen Marang berkenaan turut membidas pihak yang menganggap pindaan Akta 355 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Kita ingin bertanya kepada semua Ahli Berhormat, bagaimana mungkin cadangan pindaan batas hukuman ini bertentangan dengan Perlembagaan negara? Tiada peruntukan baru dikuatkuasa yang memungkinkan peruntukan tambahan diwujudkan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Jika usul pindaan ini diterima dan diluluskan, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mempunyai waktu dan kesempatan seluas-luasnya untuk membahaskan pemakaian batas hukum baru yang diluluskan itu untuk kesalahan jenayah syariah.
"Di sinilah sepatutnya ahli-ahli Dun nanti menggunakan kebijaksanaan masing-masing membahaskan isi dan bentuk kesalahan syariah untuk dilaksanakan di Mahkamah Syariah," ujarnya.
Abdul Hadi dalam pembentangannya buat kali ketiga untuk meminda Seksyen 2 dalam Akta 355 turut memaklumkan pindaan peruntukan tersebut tidak berkaitan dengan hudud.
"Janganlah kedengaran lagi cadangan pindaan Akta 355 merupakan pintu belakang ke arah pelaksanaan hukum hudud di Malaysia, menyamai hukum hudud," katanya lagi.
Pindaan yang dicadangkan itu antara lain adalah bagi meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman penjara maksimum sehingga 30 tahun, hukuman denda maksimum sehingga RM100,000 dan hukuman sebatan rotan 100 kali.
Pada masa ini Mahkamah Syariah hanya diberi kuasa menjatuhkan hukuman penjara maksimum sehingga tiga tahun, denda maksimum sehingga RM5,000 dan enam kali sebatan rotan.
Kerajaan sebelum ini berhasrat mengambil alih pembentangan rang undang-undang itu, namun tidak meneruskan hasrat berkenaan atas faktor semangat pemuafakatan Barisan Nasional (BN).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan