Sultan Kelantan bela 3 ekor singa

Bernama
BACHOK: Sesuai perwatakan baginda yang tenang dan berhemah, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V mempunyai sifat menyayangi haiwan dan yang amat diminati Seri Paduka ialah singa.

Baginda pernah memelihara 3 ekor singa, 2 betina dan seekor jantan.Namun 2 singa betina itu mati akibat dipatuk ular.

Menceritakan kejadian, Pengurus Royal Kelantan Endurance Tuan Ngah Tuan Muda berkata, beliau cukup merasa reda melihat Tuanku Sultan tidak murka semasa dimaklumkan kematian singa itu.

“Sebaliknya baginda mendengar dengan teliti setiap laporan termasuk laporan pakar perubatan haiwan yang dipersembahkan kepada baginda,” kata Tuan Ngah yang sudah 18 tahun berkhidmat di Royal Kelantan Endurance, di mana haiwan kesayangan baginda dipelihara.

Baginda mula memelihara singa itu sekitar September tahun lepas yang dibeli dari Afrika dan ditempatkan di sebuah kandang khas berkeluasan 4 hektar,” kata Tuan Ngah ketika ditemui Bernama.

Tuan Ngah berkata pihaknya melakukan persiapan selama 6 bulan bagi menempatkan singa itu merangkumi pembinaan pagar elektrik, 2 gua untuk singa berehat dan 2 kandang khusus untuk memberi makan haiwan berkenaan.

“Seekor singa akan diberi makan 2 hari sekali daging segar seperti lembu, kerbau atau kambing sebanyak 4 kilogram.

“Bagi mengelakkan singa berkenaan bosan, kami akan melepaskan beberapa ekor ayam agar singa itu dapat mengekalkan kecergasan mereka,” katanya.

“Baginda mahu semua haiwan yang dipelihara di sini berada dalam keadaan baik, selamat dan sihat.
“Baginda melawat kawasan ini sekurang-kurangnya 2 kali sebulan,” katanya.

Menurut Tuan Ngah, sifat baginda sayangkan haiwan dan minat memelihara haiwan dizahirkan dengan pembinaan ‘mini safari’ di kawasan seluas 56.65 hektar di Kampung Baruh Raja, Gunong di sini.

Tuan Ngah berkata Royal Kelantan Endurance pada asalnya adalah litar lumba kereta ‘go-kart’ dan kandang kuda selama puluhan tahun, namun kawasan itu bertukar menjadi mini safari berikutan minat mendalam baginda kepada haiwan.

Katanya, safari itu kini mempunyai 130 ekor rusa, seekor burung unta, 50 ekor kerbau, 15 ekor kuda dan seekor singa jantan.

Tuan Ngah berkata, baginda Sultan gemar menyumbangkan daging haiwan peliharaannya seperti kambing dan rusa kepada penduduk miskin serta anak yatim di sekitar Bachok.

“Baru-baru ini, sebelum dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda menyedekahkan daging daripada 15 ekor rusa yang dipeliharanya kepada golongan miskin dan anak yatim di Bachok,” kata beliau.Beliau berkata baginda juga merancang untuk membina sebuah lagi safari berkeluasan 647.49 hektar di Kemahang, Tanah Merah.

“Safari berkenaan kini dalam proses pembinaan dan mengikut perancangan, ia akan menempatkan pelbagai haiwan seperti seladang, rusa, lembu dan kambing,” katanya.Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan pada 12 Disember tahun lepas.

Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara pada 24 April ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan