SHAHBUDIN HUSSIN
Umpama hadiah hari raya kepada Najib Razak, Presiden Pas, Hadi Awang dalam tulisan terbarunya berkata, isu 1MDB perlu diselesaikan secara dalaman tanpa menjemput pihak asing untuk menyelesaikannya.
“Apa pun keputusan isu dalaman kita, biar mahkamah kita sendiri menyelesaikan atau mahkamah rakyat kita menyelesaikannya.
“Sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim pihak dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri dan akhirnya berkat kesabaran, pasti sedar dan insaf,” katanya.
Tambah Hadi lagi, pihak asing selama-lamanya hanya mencari peluang untuk menjaga kepentingan mereka, walaupun mengorbankan rakyat Malaysia.
Aduhhh...adakah Tok Guru Hadi Awang sebenarnya benar-benar tentang isu 1MDB ini sehingga menulis sedemikian rupa?
Kenapa memalukan diri sampai begitu sekali?
Kenapa Tok Guru yang berpengetahuan agama dan tahu halal haram sesuatu perkara boleh mengeluarkan kenyataan yang bagaikan "lebih UMNO daripada luahan hati perut pemimpin UMNO sendiri"?
Mengaitkan penyiasatan terhadap 1MDB dengan campurtangan asing hanya merendahkan pemikiran Tok Guru sehingga sama taraf dengan Annuar Musa dan Salleh Said Keruak yang semua orang tahu pangkat dan jawatan yang diperolehi mereka semata-mata kerana kuat mengampu saja?
Adakah Tok Guru juga sedang mengampu Najib?
Tok Guru, penyiasatan oleh beberapa negara terhadap skandal 1MDB tidak sama-sekali bermakna jemputan kepada kuasa asing untuk campurtangan, tetapi kerana jenayah berkenaan dilakukan di negara berkenaan?
Di Singapura, beberapa hukuman telah dijatuhkan dan bank ditutup, di Switzerland dan Luxembourg pula ada bank telah didenda dan Amerika melalui DOJ, proses penyitaan harta sedang dalam prosesnya, ia berlaku bukanlah kerana kita menjemput mereka, sebaliknya kerana kesalahan berkaitan penipuan serta penggubahan wang haram telah berlaku di negara-negara tersebut?
Tanpa dijemput pun, jika jenayah berlaku di negara mereka, tindakan tetap akan diambil oleh berdasarkan undang-undang yang mereka ada tanpa mengira di Malaysia dekat dengan tarikh pilihanraya atau tidak?
Selain itu, sudahkah Tok Guru membaca kenyataan Kedutaan Amerika dua hari lalu yang amat jelas dan mudah untuk difahami.
Jurucakapnya memberitahu, tindakan DOJ berkaitan 1MDB tidak sama-sekali bermaksud campurtangan asing, tetapi suatu inisiatif melindungi pasaran dan sistem kewangan Amerika daripada penipu wang.
"Matlamatnya adalah untuk mendapatkan semula aset dan mengembalikannya demi faedah negara yang terjejas, jelas jurucakap itu lagi.
Adakah Tok Guru faham mengenainya?
Tak malukah Tok Guru kepada pihak berkuasa negara lain yang ingin mengembalikan harta-harta hasil wang yang dicuri kepada kita, tetapi kita sesedap mulut pula mengatakan ia seolah-olah campurtangan asing?
Tok Guru juga harus faham dengan pemecatan secara mengejut Gani Patail sebagai Peguam Negara dan digantikan dengan Apandi Ali, harapan untuk melihat sebarang salah laku 1MDB dibawa ke mahkamah sudah tertutup sama-sekali.
Lihat saja banyak tindakan beliau sejak memegang jawatan itu, peranannya lebih untuk menyucikan 1MDB daripada menegakkan keadilan demi kepentingan rakyat dan negara.
Apa lagi harapan kita?
Satu-satunya ialah melalui mahkamah rakyat seperti yang turut disebut oleh Tok Guru sendiri.
Tetapi, di mana pula pendirian Tok Guru dalam perkara itu?
Kenapa Tok Guru sendiri lebih condong kepada Najib yang seluruh dunia tahu 1MDB itu adalah "anak kesayangannya" dan Jho Low yang berperanan mencatur segala-galanya pula adalah rakan karib keluarganya? (ShahbudinHusin 24/06/2017)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan