PKR mempertikaikan bagaimana Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar boleh mengenali suspek utama yang didakwa menjadi dalang sindiket judi haram dan rumah urut di Melaka.
Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, Khalid turut mengakui Gopinathan Krishnan, 50 berhubungan terus menerusi telefon dan merupakan kawan keluarganya.
"Wujud pelbagai persepsi, bagaimana seorang ketua dalam pasukan polis negara boleh berkawan baik dengan tauke judi yang dikatakan dalang kepada sindiket judi haram dan rasuah judi di Melaka?
"Sedangkan mana-mana pegawai polis terikat dengan peraturan khusus yang tidak membenarkan mereka menjalin sebarang hubungan dengan penjenayah.
"Sangat pelik, Khalid tidak mengetahui kegiatan kenalannya itu. Adakah Khalid cuba melindungi seorang penjenayah yang dikehendaki?," soalnya dalam kenyataan media.
Laman web Sarawak Reportsebelum ini mendakwa Gopinathan berhubungan langsung dengan Khalid dan memainkan peranan utama dalam menjalankan perlindungan polis di kawasan perjudian dan rumah pelacuran di Melaka.
Susulan itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seramai 12 suspek- kebanyakannya pegawai polis - berhubung kes itu bulan lepas.
Mengulas tindakan SPRM, Khalid berkata sekiranya terdapat bukti jenayah, beliau tidak akan campur tangan dalam siasatan suruhanjaya itu terhadap Gopinathan.
"Saya tidak akan bersekongkol. Saya dan pegawai-pegawai saya (akan) memberi kerjasama penuh dalam siasatan ini.
“Orang yang mengenali saya, ahli keluarga saya, jika mereka melakukan apa juga perkara di belakang saya, tak mungkin saya dapat tahu semuanya. Tetapi mereka perlu bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Dzulkifli Ahmad berkata suruhanjaya itu hanya akan memanggil Khalid jika ada keperluan berbuat demikian.
'Tangkap segera kenalan'
Mengulas lanjut Syed Ibrahim berkata, hubungan antara seseorang pegawai polis dan penjenayah merupakan kesalahan serius dan mencemarkan kredibiliti pihak berkuasa itu.
Justeru beliau meminta Khalid sendiri mengambil tindakan terhadap suspek penjenayah berkenaan.
"Khalid tidak seharusnya berpura-pura dalam hal ini, beliau sewajarnya menangkap segera kenalannya itu kerana terlibat dengan kegiatan jenayah yang cukup besar di negara ini.
"Sampai bila Khalid mahu menyembunyikan perkara ini? Kalau tidak didedahkan olehSarawak Report, mungkin sebarang kenyataan tidak akan dikeluarkan dan disahkan oleh Khalid sendiri. Ini sebenarnya amat memalukan," tegasnya.
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan