PNB Beli PNB1 Dengan Harga RM173,800
A Kadir Jasin
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
MOHON maaf kerana lama tidak membuat tampalan baru. Suasana mental dan fizikal kurang mengizinkan. Terlalu banyak bala bencana melanda tanah air kita sehingga, tidak dapat tidak, kita yang peduli akan terganggu kerananya.
ANTARA punca beban minda: Dokumen PJP yang tular di media sosial
Dalam menulis tampalan ini pun saya berasa bebanan mental yang berat kerana ia menyentuh orang dan pihak yang sentiasa dekat di hati saya – yang secara langsung dan tidak langsung menyentuh hati sanubari serta jasad saya.
[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
Oleh kerana itu, saya memerlukan para pelawat dan pembahas menolong saya untuk meringankan beban tersebut. Saya mohon anda sekalian menjawab soalan berikut:
Adakah patut Permodalan Nasional Berhad (PNB) membelanjakan RM173,800 bagi membeli nombor plat kenderaan “PNB1” kononnya untuk tujuan “branding”?
Kepada yang belum tahu cerita ini, kisahnya secara ringkas adalah seperti berikut:
Media sosial menularkan satu dokumen bocor daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai hasil pembidaan nombor plat istimewa dalam siri “PNB” iaitu nombor plat negeri Pulau Pinang.
Dalam senarai yang ditularkan itu, nama Permodalan Nasional Berhad muncul tujuh kali kerana berjaya dalam proses pembidaan.
Saya membuat congak jumlah yang dibayar oleh PNB untuk tujuh nombor yang terbit dalam senarai tular itu. Jumlah yang saya peroleh ialah RM387,835. Saya tidak pasti kalau ada nombor lain yang dilanggan oleh PNB.
Ini kira-kira saya: tolong semak takut tak betul
Apa Perlunya Nombor Istimewa?
Saya ulangi, adakah patut duit PNB digunakan untuk membeli nombor-nombor tersebut memandangkan PNB adalah agensi amanah dan pegawainya adalah pemakan gaji? Mereka bukan pemilik PNB yang boleh bermewah-mewah dengan duit PNB.
Senarai bocor dan tular JPJ itu adalah sah. Pengerusi PNB sendiri, (Datuk Seri) Abdul Wahid Omar mengesahkan kepada saya dalam bertukaran WhatsApp. (WhatsApp bukan whatsup).
Saya pergi terus kepada Abdul Wahid (yang pernah saya kagumi dan menaruh harapan tinggi) setelah dua hari gagal mendapat sebarang respons daripada bahagian perhubungan awam PNB.
Saya menghantar pesanan WhatsApp berikut kepada Abdul Wahid: “Assalamualaikum. Maaf mengganggu. Saya cuba beberapa kali hubungi Jabatan Perhubungan Awam PNB (Encik Khamis Omar) tetapi tidak ada respons. Boleh bercakap dengan kerani saja. Saya hendak pengesahan mengenai dokumen yang tular di media sosial, termasuk hasil posting (mengenai) Rumah Terbuka PNB beberapa hari lalu, iaitu kononnya PNB membelanjakan wang yang banyak membida nombor plat khas Pulau Pinang PNB. Pengesahan ini untuk tulisan saya. Terima kasih.”.
Dalam responsnya Abdul Wahid berkata: “Penempahan nombor pendaftaran kenderaan siri PNB adakah untuk kegunaan kenderaan-kenderaan PNB. Ini termasuk cawangan ASB bergerak, MPV Hotel PNB Perdana, dll dalam usaha mempertingkatkan penjenamaan PNB.”
Saya membalas: “Terima kasih. I’ll duly reflect your argument in my writing. But you may want to search your conscience whether spending RM173,800 for PNB1 is worth the publicty drive and the penjenamaan.”
(Terima kasih. Saya akan paparkan hujah saudara dalam tulisan saya. Tetapi saudara mungkin ingin bertanya hati kecil saudara sama ada membelanjakan RM173,800 untuk PNB1 itu berbaloi untuk tujuan diayah dan penjenamaan.)
Jadi selepas kita dedahkan pemborosan ini, kita tengok siapa akan guna nombor PNB1 atau PNB11 itu – sang dewa atau dewi penghuni kamar eksekutif atau cawangan ASB bergerak?
Para pembahas dan pengunjung juga boleh tentukan yang mana lebih penting -- kenderaan rasmi bernombor plat istimewa untuk eksekutif PNB atau pulangan pelaburan yang baik untuk pemegang unit?
Saya segarkan ingatan para pembahas dan pengunjung bahawa dividen dan bonus Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun ini adalah antara yang terendah dalam sejarah. Begitu juga dengan pulangan kebanyakan saham unit lain yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad.
Masih segar di ingatan saya bagaimana ketika pelancaran ASN pada tahun 1981 saya membuat liputan peristiwa bersejarah itu di Batu Pahat dan Pontian, Johor. Saya menolong beberapa orang kampung mengisi borang langganan dan ada yang menawarkan bayaran kerana menyangka saya penulis petisyen.
Dalam dialog WhatsApp yang lebih awal dengan saya, Abdul Wahid berhujah: “....I have been entrusted to lead PNB, this very important national institution. Brought in Rahman as CEO in October 2016. Unveiled our PNB Strategic Plan 2017-2022. Now focussed on execution. Alhamdulillah initial outcome has been encouraging with market capitalisation of our strategic companies increasing by RM25 billion in the first 5 months of 2017. Indeed RM226b of our RM266b funds under management come from 13 million unitholders. Will do my best for PNB & the country.”
(....Saya diamanahkan bagi memimpin PNB, institusi negara yang sangat penting. (Saya) membawa masuk Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dalam bulan Oktober 2016. Memperkenalkan Pelan Strategik PNB 2017-2022. Tumpuan sekarang kepada pelaksanaan. Alhamdulillah hasil awal menggalakkan dengan modal pasaran syarikat-syarikat strategik kita naik RM25 bilion dalam masa 5 bulan pertama tahun 2017. Sebanyak RM226 bilion daripada RM266 bilion tabungan di bawah pengurusan kita datangnya daripada 13 juta pemegang unit. Akan lakukan yang terbaik untuk PNB dan negara.)
Jawapan saya: “Thank you. Your reputation has been tainted by your membership of the cabinet. So it’s hard for me to accept at face value that you’ll go back to become a fine manager thay you once were. I hope and pray that you can. Wallahuaklam.”
(Terima kasih. Nama baik saudara telah tercemar apabila menjadi anggota kabinet. Jadi adalah sukar bagi saya menerima secara lahiriah hakikat bahawa saudara akan kembali menjadi seorang pengurus yang baik seperti dahulu. Namun saya berharap dan berdoa saudara mampu. Wallahuaklam.)
Abdul Wahid membalas: “Aamin. As a beneficiary of the DEB, I accepted (the) invite to do true national service. I believe I have done my utmost for the country within the one senatorship term with full integrity and to the best of my ability. I believe I am more optimal in the corporate sector. Will do my best as the third Chairman of PNB.”
(Aamin. Sebagai seorang yang mendapat faedah daripada DEB, saya menerima jemputan (menyertai kabinet) bagi menunaikan perkhidmatan negara tulen. Saya percaya saya telah melakukan yang terbaik untuk negara dalam tempoh satu penggal sebagai Senator dengan penuh kewibawaan dan sebaik yang terdaya. Saya yakin saya lebih cemerlang di dalam sektor swasta. Saya akan lakukan yang terbaik sebagai Pengerusi ketiga PNB.)
Pengaruh Ketua
Boleh jadi ada orang tidak setuju atau curiga kalau saya kata, saya melihat Abdul Wahid sebagai seorang pengurus perniagaan yang pintar, tekun dan boleh dipercayai.
Tetapi itu adalah sebelum dia digoda oleh kuasa dan kedudukan dengan menerima jemputan Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, untuk menjadi anggota kabinet pada tahun 2013.
Abdul Wahid (kiri) tergoda dengan pujukan Najib
Bagi saya, seorang pengurus atasan seperti Abdul Wahid mungkin baik di bawah kepemimpinan yang berwibawa dan cekap tetapi tidak optimum, malah mungkin menyeleweng, di bawah kepemimpinan kleptokratik.
Abdul Wahid adalah antara “budak cerdik” yang dibawa masuk dan diberikan tugas berat ketika zaman Tun Dr Mahathir iaitu berikutan Krisis Kewangan Asia 1997/98.
Pada dasarnya mereka ini diberikan tanggungjawab untuk menyusun semula dan memajukan syarikat-syarikat Bumiputera yang diambil alih (diambil balik) oleh kerajaan berikutan krisis itu.
Saya juga mengenali Rahman (Datuk Abdul Rahman Ahmad), Presiden dan Pegawai Eksekutif PNB. Dia pun seorang eksekutif yang bagus.
Saya akui dan yakini kebolehan mereka cuma saya bimbang mereka akan tergoda oleh kefoya-foyaan dan terbawa-bawa oleh sikap tidak bertanggungjawab seperti yang melanda 1MDB.
Untuk itu, saya memberi kata dua berikut kepada Abdul Wahid dalam perbualan WhatsApp 19 Jun: “I am really worried about PNB. Sorry to say this. You shall have me as your worse nightmare if things start to go wrong with PNB. So many lives depend on PNB doing well.”
(Saya amat bimbang mengenai PNB. Maaf saya terpaksa katakan. Saya akan menjadi igauan saudara yang paling menakutkan sekiranya perkara buruk mula berlaku kepada PNB. Banyak nyawa bergantung kepada kecemerlangan PNB.)
Dengan itu saya serahkan Abdul Wahid, PNB dan nombor plat istimewa yang berharga ratusan ribu ringgit kepada pembahas dan pembaca sekalian untuk menilainya pula.
Wallahuaklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan