Kumpulan aktivis beri amaran bahaya kelompok 'kartel'
ARIF ATAN
Zanirun Baba tengah dalam sidang media di ibu negara malam tadi
Gerakan Aktivis Harapan (GAH) memmberi amaran bahaya kewujudan kelompok parasit yang dipanggil sebagai 'kartel' dalam salah satu komponen blok pembangkang itu.
Menurut kumpulan aktivis diwakili penyokong Amanah, PKR, DAP dan PPBM itu, terdapat unsur yang dilihat memudaratkan Pakatan Harapan termasuk cubaan mendominasi dan membentuk proksi.
"Ada sikap pemimpin Pakatan Harapan yang memperlihatkan sikapnya enggan memperkukuhkan Pakatan Harapan sehingga terbit kata nama 'kartel'.
"Sekarang ini, GAH melihat adanya elemen-elemen yang akan dan telah pun merosakan Pakatan Harapan. Perkara ini dilihat bakal menjadi barah kepada Pakatan Harapan.
"Mereka (kelompok kartel) ini mahu menjadi tuan dan mahu mendominasi Pakatan Harapan.
"Mereka ini telah membentuk proksi sendiri bukan sahaja di Selangor malah di beberapa negeri dengan mengangkat diri sendiri dan berpura-pura mendakwa diri sebagai juara," tegas jurucakap GAH, Zanirun Baba.
Bercakap pada sidang media di ibu negara semalam, beliau mendakwa kelompok 'kartel' turut cuba membentuk persepsi kononnya pihak istana terbabit dalam mencampuri dan menghalang tindakan politik.
"Mereka ini juga sedang mewujudkan bayangan Perdana Menteri (PM) di kalangan mereka serta cuba membawa dakyah dan permusuhan antara komponen dalam Pakatan Harapan," dedahnya.
Akibat sikap 'kartel' itu, jelasnya, masyarakat keliru terhadap sikap kepimpinan termasuk Menteri Besar atau Ketua Menteri untuk melihat kerjasama yang kukuh di dalam Pakatan Harapan lebih-lebih lagi dalam kalangan pimpinan tertinggi.
"Lebih memalukan masyarakat mahu lihat tindakan lebih bermaruah oleh pemimpin sebegini," ujarnya sambil menegaskan GAH adalah gerakan akar umbi menyokong pembentukan Pakatan Harapan yang lebih kukuh ke arah sebuah kerajaan lebih dinamik, progresif, inklusif dan berintergriti.
"GAH menyedari bahawa perjuangan haruslah melalui denyut nadi rakyat ke arah perubahan yang sebenar-benarnya di bawah kerajaan yang baru di Malaysia.
"GAH mengambil pendekatan yang serius membentuk gerakan ini bagi memantapkan Pakatan Harapan," tegas Zanirun lagi.
Dalam hal berkaitan, Pulau Pinang menjadi negeri Pakatan Harapan pertama mengumumkan jawatankuasa gabungan itu di peringkat negeri yang dipengerusikan Ketua Menteri Lim Guan Eng merangkap Setiausaha Agung DAP, pada 27 Julai lalu.
Penubuhan tersebut susulan daripada pengumuman struktur kepimpinan Majlis Tertinggi Pakatan Harapan dengan dipengerusikan Tun Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM pada 13 Julai lalu.
Bagaimanapun, Selangor setakat hari ini masih belum lagi mengumumkan barisan kepimpinan Pakatan Harapan di peringkat negeri walaupun didesak komponen parti Pakatan Harapan.
Bahkan, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 5 Julai lalu dilapor negeri berkenaan akan terus ditadbir Pakatan Rakyat yang dianggapnya masih wujud lantaran mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.
Selepas tiga hari pengisytiharan Majlis Tertinggi Pakatan Harapan, Azmin kemudiannya menyifatkan struktur baru blok tersebut sebagai menggabungkan kepimpinan baru dan lama.
Timbalan Presiden PKR itu selanjutnya menganggap gabungan tersebut lebih foukus dan dijangka memberikan impak yang positif dalam menghadapi PRU-14.
Pada masa ini terdapat tiga exco Pas dalam kerajaan negeri Selangor walaupun Pakatan Rakyat terbubar ekoran keputusan Pas memutuskan hubungan dengan DAP pada 2015.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan