Kenapa Husam jadi pilihan Dr Mahathir?

The Malaysian Insight
Gandingan Dr Mahathir Mohamad dan Husam Musa dalam beberapa dialog memperlihatkan keserasian di antara kedua-duanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2017.


ADA apa dengan Husam Musa sehingga bekas perdana menteri selama 22 tahun yang kini mempengerusikan Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir Mohamad sudah dua kali bergandingan dengan beliau dalam program perbincangan umum.

Awal April lalu, Dr Mahathir dan Husam menjadi regu dalam program "Hard Talk" di Shah Alam. Semalam, sekali lagi mereka bergandingan dalam dialog bersama cendekiawan Melayu.

Pada program yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya itu, lebih 10 profesor bersama 48 cendekiawan Melayu menyertai dialog dengan Husam dan Mahathir itu.

Kedua-duanya menjawab pelbagai persoalan mengenai masa depan Malaysia apabila PH berjaya mengambil alih pentadbiran negara dan mereka kelihatan sangat berpuas hati dengan jawapan diberi pemimpin itu.
"Keistimewaan tentang Husam adalah kerana beliau aktif dan sentiasa ada idea untuk melakukan sesuatu.

"Saya hanya menyertai sahaja," kata Dr Mahathir ketika ditanya The Malaysian Insight selepas dialog itu, mengapa beliau memilih Husam sebagai pasangannya dalam program yang melibatkan dua penal sahaja.

Moderator dialog yang diacarakan Dr Mahathir dan Husam semalam adalah Dr Syed Azman Ahmad Nawawi, Adun Batu Burok, Terengganu.

Husam ketika ditanya pandangan mengenai perkara yang sama pula, enggan mengulas panjang.

"Hanya kebetulan sahaja," kata Adun Salor, Kelantan itu.

Namun katanya, selepas ini terdapat dua lagi program bersama Dr Mahathir sedang dirancang di tempat yang sama.

"Selepas dengan cendekiawan, kami berdua akan berdialog dengan anak muda dan wanita pula, segmen penting yang menjadi pengundi negara," kata Husam, bekas naib presiden PAS yang dipecat dan kini dilantik sebagai naib presiden Amanah.

Sementara itu, Ariffin Hassan, pengarah urusan PDM Resources yang menguruskan majlis berkenaan berkata gabungan idea kedua-dua pemimpin itu diperlukan oleh negara yang ketika ini berada di persimpangan.

"Dr Mahathir mewakili regim lama dengan 22 tahun pengalaman sebagai perdana menteri yang sudah bertaubat dan pemikirannya masih tajam.

"Husam pula bagi saya adalah 'game changer' dan menteri kanan kita di masa depan," kata Ariffin kepada The Malaysian Insight.

Sebelum ini, seorang lagi veteran politik, Lim Kit Siang tidak semena-mena mengumumkam Husam sebagai bakal menteri besar Kelantan jika PH berjaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Bagi Kit Siang, “Walaupun bekas menteri besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat ialah mursyidul am PAS, beliau juga merupakan teladan kepada rakyat Malaysia yang bukannya ahli PAS.

“Jika Husam dipilih sebagai menteri besar Kelantan selepas PRU14, beliau akan menjadi teladan baru bukan hanya untuk rakyat Kelantan, tetapi rakyat Malaysia di negeri lain juga,” kata ketua Parlimen DAP itu.

Nik Aziz juga pernah berkata, Husam dilahirkan bukan untuk Kelantan sahaja tetapi untuk Malaysia.

Husam dianggap penyelamat kerajaan negeri Kelantan selepas PAS hampir kehilangannya apabila mendapat majoriti tiga kerusi sahaja (kemudiannya tinggal satu selepas kalah pilihan raya kecil) pada pilihan raya umum 2004.

Dengan usaha dibuat Husam yang menggilap nama Nik Aziz, berjaya meraih sokongan semua ahli PAS dan seterusnya menjadi idola banyak pihak termasuk DAP, yang sebelum itu pernah memutuskan hubungan dengan parti Islam itu. – 26 Julai, 2017.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan