Kombinasi Tun M-Anwar bawa impak positif: Pakar

WARTAWAN SINAR HARIAN

ALOR SETAR – Sudah tiba masanya untuk Pakatan Harapan terima semula kombinasi pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim jika berhasrat untuk menubuhkan kerajaan pada PRU14.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, perkara itu bukan sahaja mampu membawa impak positif kepada pembangkang, malah kehadiran Tun Mahathir juga adalah calon terbaik sebagai perdana menteri.

“Inilah dilema yang dihadapi oleh Pakatan Harapan. Jika Tun Mahathir nyatakan kesediaan untuk jadi PM, saya fikir ia petanda tidak baik kepada parti-parti pembangkang yang lebih senior.

“Ia seolah-olah pembangkang tidak boleh diharap untuk memimpin masyarakat dan negara. Jika itu isyaratnya, maka ramai tokoh pembangkang perlu bersara serta merta dan memberikan peluang kepada Tun Mahathir serta tokoh-tokoh dari Bersatu untuk membangunkan semula pembangkang yang kini seolah-olah daif kepimpinannya,” katanya.

Menurutnya, dilema yang dihadapi Pakatan Harapan kini bukan sahaja seolah-olah menjadi pelayan kepada Anwar, tetapi kini beralih seolah-olah menjadi ‘dayang-dayang’ kepada Tun Mahathir dan Bersatu yang lebih junior dari segi penubuhannya.

“Walaupun begitu, ia mungkin berhasil jika parti pembangkang ikut cakap Tun Mahathir kerana beliau adalah Presiden dan Pengerusi BN selama lebih 20 tahun.

“Mungkin beliau tahu operasi dan modus operandi Umno serta BN, jadi pemikiran Tun Mahathir juga adalah aset kepada pembangkang,” katanya.

Penganalisis politik itu berkata, semua parti pembangkang harus mengadakan satu pengisytiharan jelas bahawa Tun Mahathir adalah diterima sebagai calon perdana menteri sekali lagi jika Pakatan Harapan menang pada PRU14.

“Semua tokoh Pakatan Harapan perlu ikrar serta taat setia kepada Tun Mahathir dan ia akan membawa impak positif kepada Pakatan Harapan. Saya fikir sudah tiba masanya Pakatan Harapan menerima semula kombinasi pengaruh Mahathir-Anwar jika nak tubuhkan kerajaan.

“Jika Pakatan Harapan ikhlas menerima kehadiran Tun Mahathir, jadi secara positifnya beliau adalah calon terbaik untuk menjadi perdana menteri dan Anwar pula sebagai Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang pada PRU14,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan