MALAYSIA DATELINE
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahuddin Ayub menafikan Pakatan Harapan cuma mencalonkan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan sebagai Menteri Besar Johor jika pembangkang berjaya merampas pemerintahan negeri itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)
Beliau yang juga Naib Presiden Pakatan Harapan memaklumkan bukan hanya Aminolhuda dicalonkan, sebaliknya beliau dan beberapa pemimpin pembangkang lain termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dicalonkan menjadi Menteri Besar Johor.
“Adapun isu berkaitan calon Menteri Besar (Johor), hal ini sekiranya berbangkit dan menjadi satu keperluan, ia akan diputuskan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Harapan.
“Mana-mana pihak boleh sahaja membuat spekulasi. Namun kami tegaskan, keutamaan Pakatan Harapan adalah memenangi Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU14),” katanya dalam satu kenyataan media dipetik hari ini.
Sebelum ini terdapat desas-desus DAP mahu pemimpin AMANAH sama ada Salahuddin atau Aminolhuda menjadi Menteri Besar Johor jika Pakatan Harapan berjaya menumbangkan parti Melayu Umnodi negeri tersebut.
AMANAH ditubuhkan oleh beberapa bekas pemimpin Pas yang gagal mempertahankan jawatan masing-masing dalam pemilihan Pas beberapa tahun lalu kerana dilihat terlalu tunduk kepada kehendak DAP.
Sejak itu, AMANAH yang dianggap sebagai parti serpihan Pas dilabelkan sebagai khadam DAP oleh penyokong Pas kerana parti berkenaan sering mempertahankan DAP termasuk dalam isu-isu yang dilihat bercanggah dengan kepentingan agama Islam.
Muhyiddin semasa masih dalam Umno pula pernah menjadi Menteri Besar Johor dari tahun 1986 hingga 1995, namun beliau terpalit dalam pelbagai kontroversi sepanjang memegang jawatan berkenaan.
Malah, anwarbrahimblog.com pada tahun 2009 pernah menyiarkan artikel yang menyebut walaupun Muhyiddin menafikan beliau pernah menjual tanah Johor kepada Singapura, tetapi beliau pernah didakwa terlibat dalam usahasama dengan syarikat dari negara itu untuk menukar status tanah di Johor bagi memajukannya.
Pada tahun 1993, Muhyiddin juga Menteri Besar Johor yang bertanggungjawab membuat perubahan terhadap cuti hujung minggu di Johor daripada Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad yang menimbulkan kemarahan umat Islam Johor ketika itu.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 1 Januari 2013 menitahkan pertukaran cuti minggu negeri Johor kembali kepada hari Jumaat dan Sabtu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan