'Dengan nama Allah mereka mengganas'

Anggota Jawatankuasa Pusat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk A Kadir Jasin percaya tindakan provokasi kumpulan penghasut semasa forum Nothing To Hide 2.0 di Shah Alam semalam membayangkan keterdesakan penaja mereka.

Menulis di laman Facebook, katanya, semakin jelas operasi ganas yang sanggup mereka lakukan demi mempertahankan kuasa yang semakin terlepas.

“Di satu pihak mereka berdoa dengan nama Allah di pihak yang lain mereka mengganas.

“Saya ada di satu dari awal hinggalah para pengacau mula bertindak menjerit kemudian membaling capal, botol air dan kerusi serta menembak flare,” katanya.

Menurut bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press itu, kejadian berlaku di penghujung sessi soal jawab di mana beberapa soalan yang jelas ditanam oleh penaja kumpulan penghasut berjaya ditangkis oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini termasuklah soalan mengenai DAP menjadi parti utama Pakatan Harapan, Dr Mahathir meminta maaf kepada Datuk Seri Anwar dan peristiwa Memali.

Sesetengah penghasut, katanya tidak puas hati apabila jawapan Dr Mahathir kepada soalan mereka disambut dengan tepukan dah teriakan "hidup Tun".

“Saya nampak ada penghasut yang ditahan oleh ahli ARMADA dan orang ramai manakala yang lain lari bertempiaran sambil menanggalkan kemeja-T BERSATU/ARAMADA yang mereka pakai untuk menyamar.

“Jelas tindakan provokasi kumpulan penghasut itu membayangkan keterdesakan penaja mereka yang mengakui bahawa majlis-majlis anjuran BERSATU dan Pakatan Harapan mendapat sambutan sukarela rakyat jelata,” katanya.

Kadir bagaimanapun tidak menamakan kumpulan penghasut itu walaupun ketika majlis berlangsung terdapat penyokong kerajaan yang berada di dalam dewan berkenaan.

Acara itu menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjelaskan skandal 1MDB yang dikaitkan dengan pengubahan wang haram di luar negara. Bagaimanapun Najib gagal menghadirkan diri ke pada progam itu.

Acara yang bermula pada jam 3 petang itu kemudian bertukar menjadi ganas pada kira-kira jam 5.30 petang ketika Mahathir berucap kepada orang ramai.

Ketika Mahathir menjawab soalan mengenai tragedi Memali di Baling pada tahun 1985, selipar dan kasut dilemparkan ke arahnya. Ini diikuti oleh beberapa objek lain termasuk kerusi, botol air dan suar di dalam dewan.

Bagaimanapun, tiada objek mengenai Mahathir apabila anggota keselamatan bergegas untuk melindunginya. Pertempuran kemudian berlaku apabila penyokong BERSATU cuba menghadapi provokasi berkenaan yang akhirnya melarat keluar dewan.
-malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan