Jangan salah langkah, 2 amaran Amanah pada PH

'Tiada satu parti pun boleh buat keputusan sendiri'
ARIF ATAN
Husam Musa calon MB Kelantan
Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa menegaskan tiada mana-mana parti komponen Pakatan Harapan boleh membuat keputusan bersendirian termasuk dalam hal berkaitan rundingan dengan Pas.

Menurutnya, sebarang keputusan akhir hanya akan dimuktamadkan dalam Pakatan Harapan yang terdiri daripada AMANAH, PKR, DAP dan Bersatu.

"Walaupun siapa yang pergi berunding dengan Pas akhirnya keputusan dalam Pakatan. Tiada satu parti boleh buat keputusan sendiri," katanya dalam dialog anjuran AMANAH Taiping di Bukit Gantang, Perak semalam.

Menjawab soalan peserta berkenaan rundingan kerjasama Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau berkata, kepimpinan Pas pada masa ini sudah berbeza.

"Pas yang ada sekarang bukan yang dulu. Sekarang nak berunding dengan Pas yang telah diBR1Mkan oleh pihak-pihak tertentu.

"Yang pergi bukan calang-calang orang. Datuk Seri Azmin yang pergi. Kalau saya pergi (ziarah), Ustaz Hadi sudah tutup pintu awal-awal lagi," ujarnya.

Husam menganggap kunjungan Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan bersama Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 12 Ogos lalu sebagai satu hal positif.

Menurutnya, pengundi atas pagar akan melihat pendekatan tersebut sebagai bertatasusila dengan tidak sengaja meninggalkan Pas sekali gus menafikan dakwaan negatif sebelum ini termasuk kononnya Pakatan Harapan menjadi 'alat Cina'.

Walau bagaimanapun, beliau percaya rundingan yang diusahakan Menteri Besar Selangor itu sukar mencapai matlamatnya memandangkan sikap Pas yang sudah diketahui umum.

"Cuma saya kasihan dengan Azmin. Kita tidak boleh buat apa dengan Pas. Kita terpaksa meneruskan perjuangan kita," katanya.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor tersebut berkongsi pengalaman rundingan kerjasama antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ALmarhum Tuan Guru Nik Aziz sebelum ini.

"Kalau awal-awal lagi berkokok, telur tiada lagi, susahlah. Jadi, biar telur satu raga dulu, baru kita isytihar (pertemuan dan rundingan).

"Ini pengalaman saya dengan Anwar Ibrahim. Masa dia datang jumpa Tok Guru Nik Aziz, tiada orang tahu. Tok Guru Nik Aziz masa mesyuarat cakap, 'kita kena kerjasama dengan Anwar'. Jadi, kerjasama itu.

"Buat dulu (berunding) senyap-senyap, baru hebohkan. Kalau awal-awal hebohkan rasa saya tak menjadi," jelasnya.

Husam turut berkata, 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dikuasai Pas pada masa ini perlu diserahkan kepada AMANAH dan Bersatu bagi agihan kerusi pada pilihan raya akan datang.

Langkah tersebut, ujarnya, harus dilakukan atas faktor termasuk penolakan pengundi Cina terhadap Pas.

"Jadi, nak menyelamatkan kerajaan Selangor tak boleh bagi kerusi itu pada Pas walaupun sayang pada dia," kata Husam lagi.

--------------------

'Jangan buang masa pujuk pihak tiada pendirian'
MALAYSIA DATELINE
Sejarah Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada tahun 2008 yang menyaksikan tumbangnya BN di Perak boleh diulangi kembali dengan syarat Pakatan Harapan (PH) bersatu hati dan saling mempercayai.

Pengerusi AMANAH Perak Asmuni Awi berkata, tidak boleh ada agenda tersembunyi dalam kalangan parti komponen PH termasuk membuang masa memujuk pihak yang tidak konsisten untuk menentang Umno-BN.

"Apa sahaja yang kita lakukan di peringkat negeri akhirnya adalah untuk mengukuhkan Pakatan Harapan. Hari berlalu masa beredar. Jangan buang masa memujuk pihak-pihak yang tegaknya tiada tulang belakang, duduknya rapuh di pinggang.

"Sekejap ber’kluk’ ke kanan sekejap ber’klik’ ke kiri. Pinar mencari arah. Tak tahu ke mana nak dituju. Sekadar ingatan, kami lebih mengenali ‘mereka’ dari orang lain mengenalinya," katanya dalam ucaptama Konvensyen AMANAH Perak kali ke-2 di Ipoh, hari ini.

Asmuni Awi Konvensyen Amanah Perak 2

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada usaha PKR untuk terus berunding dengan Pas, parti yang dianggotainya dahulu.

Asmuni menegaskan, AMANAH harus memperkukuh muafakat dengan PH di Perak kerana BN sedang mencari nafas baru untuk terus mendapatkan mandat rakyat.

"Bagi BN Perak, Pilihan Raya Umum Ke-14 ibarat bahtera tanpa nakhoda. BN Perak sedang mencari ‘nafas’ baru untuk terus mendapatkan mandat rakyat dan Pakatan Harapan Perak wajar perkukuhkan muafakat antara kita sebagai sebuah kerajaan negeri yang diharapkan oleh rakyat," tegasnya yang juga Bendahari Agung AMANAH.

Liberalisasi kuasa

Menurut Asmuni juga, AMANAH dan PH sedang memikul tugas yang berat untuk merungkai tembok perkauman akibat politik perkauman yang dimainkan Umno-BN khususnya setiap kali menjelang PRU, apabila mereka menghadapi saingan getir dengan parti-parti pembangkang.

"Perkara ini menjadi lebih kronik kerana setiap kali menjelang pilihan raya isu perkauman ini adalah antara barangan atau bahan yang cukup laris untuk diperdagangkan, terutama ketika Umno-BN menghadapi saingan getir antara hidup atau mati di tangan parti-parti pembangkang," katanya.

Tambah malang lagi katanya apabila sebuah 'parti agama' yang sepatutnya menjernihkan hubungan antara kaum ini turut menjadi pelakon tambahan terbaru dengan menghidupkan kembali fahaman asabiyah sempit.

"Inilah cabaran untuk kita, melahirkan politik peradaban yang bukan sekadar slogan, tetapi mendepani dan merungkai tembok pemisah ini dengan mesej Islam yang sebenarnya iaitu Islam yang adil, Islam yang penuh rahmah dan Islam yang tidak membenci hanya kerana perbezaan kaum," katanya.

Justeru, Asmuni berkata, PH tiada pilihan selain membuat liberalisasi kuasa mereka kepada suatu struktur yang lebih seimbang berdasarkan kepada dinamika politik semasa.

"Memang ada usaha yang dilakukan oleh DAP dan PKR meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti bukan Melayu.

"Ia adalah satu usaha yang baik. Walaupun meletakkan calon-calon bukan Melayu di kawasan majoriti Melayu berkemungkinan menghadapi risiko yang besar, namun usaha ke arah itu hendaklah difikirkan mulai dari sekarang," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan