Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuktikan dakwaannya mengenai nama sebenar Mahathir seperti yang didakwa.
Dr Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, beliau terkejut dengan kenyataan yang dibuat anggota parlimen Bagan Datoh itu.
"Tak pernah lagi sesiapa yang menyentuh perkara ini dengan memberi asal-usul saya yang berbeza daripada diketahui umum.
"Ini adalah satu kenyataan yang cukup baiklah untuk kita tunjuk betapa Zahid ini kaki pembohong," katanya dalam kenyataan video, hari ini.
Semalam, Zahid yang juga naib presiden Umno membangkitkan sejarah Dr Mahathir yang berketurunan India dan mendakwa bekas bosnya itu mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun pentadbirannya.
Zahid yang juga menteri dalam negeri, menunjukkan salinan kad pengenalan (IC) Dr Mahathir, yang menurutnya memaparkan namanya sebagai "Mahathir a/l Iskandar Kutty".
Sambil memegang telefon bimbit dan menunjukkannya kepada hadirin, Zahid berkata, "Ini IC biru dia dulu. Nama dia Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty. Nombor IC biru dia […] Ini yang dihantar oleh ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)."
"Betullah dia kata kita ni mudah lupa sebab dia anak laki-laki Iskandar Kutty.
"Orang itulah yang memperjuangkan agenda Melayu untuk mempergunakan Melayu.
"Bila habis madu sepah dibuang. Umno ini sebagai madu dan kita adalah sepah yang dibuang," katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup mesyuarat bahagian Umno Kelana Jaya, semalam.
Sementara itu Dr Mahathir berkata, Zahid adalah kaki pembohong kerana dia tidak boleh menunjukkan kad identiti lama berwarna biru itu.
"Saya masih ingat kad (pengenalan) yang pertama yang saya terima ketika saya masih di universiti pada masa itu,” katanya.
"Tapi kalau dia boleh tunjuk saya nak tengoklah. Jangan sembunyi, jangan buat macam Apandi (Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali).
“Apandi bila tunjuk, tak ada apa-apa, tapi masuk dalam akta rahsia kerajaan.
"Yang ini Zahid nak rahsia juga? Tunjuklah," katanya.
Tambah Dr Mahathir beliau malu kewujudan orang seperti Zahid dalam kabinet Malaysia.
"Saya malu ada orang macam ni boleh ada dalam kabinet Malaysia," katanya.
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan