Melissa Darlyne Chow
KUALA LUMPUR: Kisah Prebet Adam Jaafar, yang 30 tahun lalu menembak rambang di pusat bandar raya menggunakan sebuah senapang M16 dari kem tentera di Ipoh, menggemparkan seluruh warga Lembah Klang malah seluruh negara, tetapi sarat dengan pelbagai kekeliruan dan dongeng.
Seorang wartawan Syahril A Kadir, bagaimanapun cuba merungkai pelbagai isu berkait kisah itu, termasuk dakwaan anggota tentera itu cuba membalas dendam pembunuhan adiknya di tangan Sultan Johor.
Syahril A Kadir, penulis buku “Amok at Chow Kit” yang menceritakan insiden berlaku Oktober 1987 di sekitar Chow Kit, berkata Adam mudah membawa keluar senjata M16 daripada kem di Ipoh.
Dia hanya memasukkannya ke dalam beg, sebelum menuju ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, pengawal mempercayai Adam dan pergerakannya tidak menimbulkan kebimbangan ketika itu.
“Pihak keselamatan dikatakan selalu melihat dia berbuat demikian kerana dia seorang penembak tepat di kem. Salah satu cara baginya untuk melepaskan tekanan adalah melepaskan tembakan.
“Apabila dia keluar kem, hanya satu tabik hormat kepada pengawal keselamatan di pintu utama kem,” kata Syahril bercakap dalam sebuah wacana mengenai bukunya Isnin lalu.
Ia juga mudah bagi Adam membawa keluar senapang tersebut kerana ia boleh diceraikan menjadi komponen lebih kecil.
Begitulah caranya Adam membawa senjata M16 itu dari Ipoh ke KL pada hari malang itu.
Menurut Brigadier Jeneral (Bersara) Datuk Abdul Ghani Abdullah yang bertanggungjawab memujuk Adam menyerah diri ketika itu, Adam tidak mempunyai masalah ketika tiba di ibu kota.
“Dia pergi ke restoran, menyaksikan perlawanan bola sepak di televisyen dan kemudian kembali ke hotel.
“Masalahnya bermula apabila pemilik hotel bertanyakan bayaran penginapan yang kemudiannya menimbulkan kemarahan Adam.”
Ketika itu, tercetusnya drama yang menjadikan Chow Kit gempar. Adam berlari sambil melepaskan tembakan secara rambang yang membunuh seorang mangsa.
Ghani berkata pagi Isnin itu bermula seperti biasa, sehinggalah saat beliau menerima panggilan telefon dari pasukan operasi pertahanan.
“Saya ketika itu bertugas sebagai pegawai operasi kakitangan dan saya diminta untuk memujuk Adam sebelum tindakan lain diambil.
“Saya diperintahkan untuk ke Chow Kit diiringi pegawai risikan,” kata Ghani.
Beliau berkata, pihaknya tiada rancangan bagaimana memujuk Adam yang ketika itu 23 tahun, untuk menyerahkan diri.
“Ia berlaku sekelip mata.”
Berjaya pujuk Adam
Menurut Ghani, beliau terpaksa memperoleh kepercayaan Adam dengan menunjukkan dirinya tidak bersenjata dan sebagai penggalak keyakinan Adam, beliau tidak memakai jaket kalis peluru.
“Ia suasana yang tegang kerana dia terlatih dan tenang. Dia kelihatan bersedia untuk menyerang bila-bila masa.
“Saya kena bijak, saya tidak cuba merampas senjatanya, tetapi memujuk agar meletakkan senjatanya dan kemudian menyolang tangannya ke belakang.
“Adam kemudian mengambil balik senapang itu. Apa yang membuat saya berdebar adalah ia masih mempunyai 27 peluru yang bersisa.”
Ghani berkata susuk tubuhnya tidak padan dengan Adam yang muda, gagah dan berbadan sasa.
“Saya memegang tangannya, menyilang ke belakang dan kemudian merebahkan badannya.
“Tetapi dia menolak, seolah-olah dia berlawan. Dia masih dalam keadaan keliru,” kata Ghani.
Akhirnya, Adam menyerah diri kepada pihak atasannya selapas mencetuskan sejarah “Amukan Prebet Adam”.
Ketika itu, hangat khabar angin yang mendakwa Adam berbuat demikian sebagai membalas dendam kematian adiknya di tangan Sultan Johor.
Kisah Sultan bunuh adik Adam
Menurut cerita itu, kononnya Sultan Johor ketika itu memukul adiknya dengan kayu golf.
Syahril berkata memang benar adiknya meninggal dunia semasa usianya masih muda.
“Dia meninggal dunia di depan mata Adam apabila rumahnya di Pulau Pinang terbakar dan dia ditimpa sisa kebakaran.
“Dia melihat sendiri bagaimana adiknya mati. Dia bukan mati disebabkan terkena kayu golf yang dihayungkan oleh sultan,” tambah Syahril.
Syahril mengakui beliau turut dipengaruhi khabar angin itu.
“Selama 30 tahun, kita disogokkan cerita Prebet Adam mengamuk kerana adik perempuannya dibunuh sultan.
“Sebagai wartawan, saya turut percaya sehinggalah satu hari saya memuat naik soalan di Facebook: Apakah benar insiden itu bagi membalas dendam kematian adik perempuannya di tangan seorang sultan?”
Beberapa jam selepas soalan itu dimuat naik, Syahril menerima panggilan daripada seseorang yang berkata beliau bersama Adam, lelaki sama yang mencetuskan huru hara pada 1987 itu.
Beliau kemudian ke Pulau Pinang untuk berjumpa Adam, dan mendapati lelaki itu kini sudah berusia, menjangkau 50 tahun tetapi keadaan fizikal menyerupai seorang berusia 60 tahun.
Dalam pertemuan itu, Adam yang merupakan gelandangan, menceritakan kisah benarnya, dan berkata dia disisihkan masyarakat dan keluarganya.
Dia turut menafikan cerita mengenai sultan.
“Ia tidak benar, tiada kaitan,” kata Adam kepada Syahril.
Buku Syahril yang menceritakan insiden itu pada mulanya menerima halangan, susulan kebimbangan penerbit melibatkan diri.
Akhirnya, ia diterbitkan Dubok Press, dan buku itu kini dalam cetakan kedua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan