Khairil Ashraf
SHAH ALAM: PAS Selangor akan merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang serta Bukit Antarabangsa yang dimenangi 2 pemimpin tertinggi PKR, iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Azmin Ali, pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehin Mukhyi berkata, parti Islam itu juga akan mencabar kerusi Parlimen Gombak yang dikuasai menteri besar Selangor itu sejak 2008.
“Memang wajib kita ambil. Sebenarnya, sejarah sebelum adanya PKR, sejak pilihan raya dulu PAS sangat berminat berada di banyak kerusi di Selangor. Setelah adanya PKR, itu yang kita bagi beberapa (kerusi).
“Selepas pilihan raya yang lalu, presiden PAS yang mencadangkan supaya PKR jadi menteri besar Selangor, bukannya PAS walaupun PAS menang 15 kerusi ketika itu,” katanya pada sidang media hari ini.
Azmin berjaya mempertahankan kerusi DUN Bukit Antarabangsa pada PRU13 selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Nadzim Ibrahim dengan majoriti 4,044 undi.
Dr Wan Azizah yang berdepan calon MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang pada Mac 2014 pula menang dengan majoriti 5,379 undi.
Sallehin yang juga adun Sabak berkata, parti itu akan bertanding di sekurang-kurangnya 42 kerusi DUN di Selangor pada PRU14, selepas mendapat persetujuan PAS Pusat.
Katanya, parti itu juga bersiap sedia menghadapi pertandingan 3 penjuru atau lebih.
“Bersedia untuk letakkan calon di semua kerusi yang ditandingi BN atau Pakatan Harapan.
“Perlu diingatkan pertembungan 3 penjuru di Selangor, kalau berlaku bukan dimulakan PAS, tapi rekod DAP dan Amanah (yang mula mencabar) bertanding di kerusi PAS,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan