Peguam nasihat AJK PAS Pusat, jangan fitnah kerajaan

Amin Iskandar

Peguam Syahredzan Johan berkata pemahaman dan dakwaan Riduan berhubung kandungan pindaan itu adalah tidak benar dan mengelirukan. – Gambar The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2017.

AHLI Jawatankuasa PAS Dr Riduan Mohd Noor mungkin "jahil" atau sengaja menipu berhubung dengan pindaan ke atas Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis, kata peguam Syahredzan Johan.

Syahredzan berkata, pemahaman dan dakwaan Riduan berhubung kandungan pindaan itu adalah tidak benar dan mengelirukan.

"Kenyataan bahawa anak yang dilaporkan oleh ibu bapa Islam tak perlu menganut Islam, tidak perlu memeluk Islam untuk kahwin dengan Muslim dan bahawa orang Islam boleh keluar agama untuk kahwin dengan orang bukan Islam semua langsung tidak terkandung dalam pindaan tersebut," kata Syahredzan dalam tulisan di Facebooknya hari ini.

"Sama ada beliau jahil, atau beliau sengaja menipu. Tragedi sebenar adalah beliau guna perkataan 'Islam' untuk (menjustifikasikan) kejahilannya atau penipuannya."

Riduan menyifatkan kelulusan pindaan ke atas Akta 164 di Dewan Rakyat pada awal pagi Khamis, satu tragedi malang bagi umat Islam di Malaysia.

Riduan berkata selain mewujudkan tanda tanya tentang status agama anak orang Islam yang lahir di bawah perkahwinan sivil, proses kelulusan pindaan itu seharusnya membuka mata rakyat hanya PAS sahaja yang boleh diharapkan untuk membela Islam.

Menurut Syahredzan, walaupun tidak begitu arif tentang isu ini, apa yang pasti kenyataan Riduan itu langsung tidak menggambarkan pindaan sebenar yang diluluskan di Dewan Rakyat.

"Kerajaan ini banyak yang dia buat salah, tapi janganlah sampai kita fitnah mereka benda yang mereka tidak buat langsung," katanya.

Dewan Rakyat meluluskan pindaan ke atas Akta 164 tanpa klausa 88A paling penting yang akan memberikan definisi lebih jelas terhadap agama seorang kanak-kanak yang terbabit dalam perceraian susulan salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam.

Dewan Rakyat yang melanjutkan sidang pada Rabu sehingga awal pagi Khamis meluluskan rang undang-undang pindaan kontroversi itu selepas dibahaskan selama hampir 5 jam.

Barisan ahli Parlimen PAS yang diketuai oleh setiausaha agungnya Takiyudin Hassan bergulung lidah membantah cadangan pindaan itu namun ia akhirnya lulus juga.

Kerajaan berharap pindaan ini akan menyelesaikan kes-kes yang sering terheret jadi konflik kerana beberapa keputusan mahkamah yang berbeza mengenai bidang kuasa sivil dan syariah berhubung kes melibat pasangan Muslim dan bukan Muslim.

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin dari Amanah menyambut baik pindaan itu namun mengatakan ia tidak akan menyelesaikan 100% masalah yang sedia ada. – 11 Ogos, 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan