Seorang aktivis Islam dan bekas hakim Mahkamah Persekutuan memberikan pandangan masing-masing mengenai pembatalan Better Beer Festival di sebuah forum anjuran Majlis Peguam malam semalam.
Dikenali sebagai lantang terhadap kumpulan Islam bersayap kanan, Pengarah Islamic Renaissance Front Dr Ahmad Farouk Musa, bagaimanapun, berkata, pendiriannya mengenai perkara itu condong kepada pendapat ahli parlimen AMANAH, Dr Siti Mariah Mahmud.
Siti Mariah berhujah bahawa festival itu akan menggalakkan penggunaan alkohol dan sebagai seorang doktor, katanya ini membahayakan kesihatan.
Sebuah kerajaan, kata Farouk, harus menggalakkan gaya hidup yang sihat.
"Apabila kita membenarkan orang ramai mengadakan pesta minum-minum arak, mana tanda aras apa yang boleh dan tetapi pesta gay tidak dibenarkan.
"Jika kita berkata, adalah hak asasi mereka untuk mengadakan pesta arak, maka golongan gay pula akan berkata kita mahu adakan pesta gay, jadi kita akan ada masalah di sini."
Menyatakan perspektif sebagai seorang pengamal perubatan seperti Dr Siti Mariah, Farouk berkata "tidak ada yang bagus dengan menjadi mabuk dengan minum alkohol atau dengan mengambil dadah".
"Bagi seorang doktor, perkara paling penting bagi mengetahui latar belakang pesakit dengan menyoal 'kamu minum? Adakah kamu merokok?' kerana kita tahu semua ini menjejaskan kesihatan mereka," katanya.
Bagaimanpun bagi bekas hakim Datuk Gopal Sri Ram, secara berseloroh, katanya, ramai rakannya yang beragama Islam akan kecewa dengan pembatalan pesta arak itu.
"Mereka mahu hadir pesta itu. (Jadi) dari pandangan perubatan danagama, pembatalan itu agak mengecewakan," kata Sri Ram.
Dalam nada lebih serius, Sri Ram berkata semua orang harus sedar bahawa negara ini bersifat sekular.
"Lebih cepat kita menyedari bahawa kita adalah sebuah negara sekular dan bukan negara Islam, maka agama lain tidak harus memaksakan kehendak mereka kepada orang lain.
"Jika tidak, ini melanggar Perkara 3 (Perlembagaan Persekutuan), seseorang mengarahkan saya bagaimana saya harus menjalani hidup saya, ini bukan urusannya!" katanya.
Justeru, kata Sri Ram, pandangan dari sudut undang-undang, ini adalah pelanggaran hak seseorang.
"Perkara seterusnya mereka akan beritahu kamu siapa yang boleh kamu bersalaman, siapa yang boleh kamu kirim kad Hari Raya, (dan) sama ada kamu boleh mengirim kad Deepavali kepada sesiapa sahaja."
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan