FMT Reporters
PETALING JAYA: Raja Arab Saudi, Salman Abdul Aziz akan menyerahkan takhta kepada anaknya, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, lapor media Arab.
Rabu lalu, portal berita Arab, Rai al-Youm, melaporkan Mohammed, yang baru-baru ini berusaha menguatkan pengaruhnya dengan mengarahkan penangkapan besar-besaran beberapa tokoh perniagaan dan kerabat diraja, akan mengumumkan keputusan itu “2 malam akan datang”.
Pada hari sama, saluran televisyen Saudi, Al-Arabiya mengumumkan berita itu di Twitter tetapi memadam kiriman itu tidak lama kemudian.
Maklumat itu tidak dapat disahkan secara rasmi. Riyadh belum membuat sebarang kenyataan mengenai isu itu.
Spekulasi tentang keputusan Raja Salman untuk turun takhta muncul pada akhir Jun apabila beliau menyingkirkan anak saudaranya Mohammed Nayef untuk digantikan dengan anaknya Mohammed.
Pada September, stesyen TV Lubnan, Al-Manar, melaporkan sumber terdekat kerabat diraja berkata Salman akan turun takhta tidak lama lagi kerana masalah kesihatan.
Baru-baru ini, berpuluh-puluh ahli keluarga diraja termasuk jutawan, menteri, pegawai tentera dan ahli perniagaan ditahan di Arab Saudi pada Ahad atas arahan Mohammed.
Tahun lalu, Mohammed mengumumkan pelan pembangunan Wawasan 2030, dalam usahanya menampilkan dirinya sebagai reformis yang bakal membawa kemudahan, termasuk memperkenalkan dasar Islam yang “lebih sederahana”.
Mohammed baru-baru ini terlibat dengan perang mulut dengan jirannya Iran, menuduh negara itu mahu berperang. Susulan itu, harga minyak sedunia mula naik, manakala Tehran memberi amaran sambil merujuk “kekuatannya” yang boleh mengancam Arab Saudi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan