Adam Abu Bakar
PETALING JAYA: Tindakan Datuk Amiruddin Hamzah untuk menyertai PPBM pada Ahad lalu diakui bukan yang terakhir melibatkan pemimpin PAS Kedah.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata keputusan Amiruddin, yang juga ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah, adalah bukti parti Islam itu kini menghadapi krisis kepercayaan.
“Langkah yang Amiruddin ambil adalah langkah tepat untuk berikan mesej kepada ahli bahawa mereka mempunyai pilihan lain selain PAS.
“Mereka boleh pilih PKR, DAP, Amanah dan PPBM. Amiruddin sertai PPBM dalam keadaan dirinya sebagai ketua pembangkang dan bekas yang dipertua PAS Kuala Kedah,” katanya.
Mahfuz, yang merupakan antara pemimpin PAS yang dipinggir pucuk pimpinan berikutan kelantangannya mempersoalkan dasar parti, tidak menolak kemungkinan lebih ramai akan mengikut jejak Amiruddin apabila tarikh pilihan raya diumumkan.
Ia turut diakui Adun Tokai dari PAS, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul yang menyifatkan sukar untuk pemimpin PAS menghidu tindakan dan hasrat yang bakal dilakukan rakan-rakannya.
“Ahli PAS masih kuat, utuh, bahkan masih ramai di peringkat akar umbi. Masalahnya kita tidak tahu siapa yang sokong PAS atau Amanah sebab masih belum mengundi lagi,” katanya merujuk parti pecahan PAS yang ditubuhkan pada 2015.
“Kita tidak dapat rasa siapa yang akan keluar atau masuk menyertai PAS, kalau pilihan raya diumumkan barulah kita tahu, sehingga kini masih tidak ada kayu ukur,” kata Taulan kepada FMT.
Sebelum ini, PAS mengakui puluhan ribu ahlinya sudah meninggalkan parti itu.
Setakat Jun tahun lalu, keahliannya tinggal 800,000 orang ahli berbanding lebih sejuta ahli sebelum itu. Antara faktor kekurangan ahli itu ialah mereka yang melompat ke Amanah.
Pada pilihan raya umum lalu, Amiruddin memperoleh sebanyak 2,806 undi majoriti, menewaskan calon Barisan Nasional dan bebas.
Sementara itu, Taulan berkata tindakan Amiruddin keluar PAS memasuki PPBM sudah dijangka, tetapi apa yang tidak diduga adalah pilihan parti baharunya.
Ini kerana bekas pemimpin PAS selalunya memilih Amanah, katanya.
Taulan menganggap Amiruddin memilih PPBM kerana imej Datuk Seri Mukhriz Mahathir, timbalan presiden PPBM yang juga bekas menteri besar Kedah, yang lebih menonjol.
“Di Kedah, Amanah tidak nampak,” katanya. “Pemimpinnya ada tetapi yang di bawah tidak nampak.”
Amanah Kedah diketuai Datuk Ismail Salleh bersama-sama Datuk Phahrolrazi Mohamad Zawawi sebagai timbalan pengerusi.
Taulan bagaimanapun tidak menafikan hak Amiruddin memilih parti.
Ahad lalu, Amiruddin mengumumkan keputusannya menyertai PPBM, dengan berkata ia lahir kerana tidak setuju pendirian PAS yang tidak mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan pada pilihan raya akan datang.
Seorang lagi Adun PAS, Nasir Mustafa berkata beliau kekal dalam perjuangan PAS, namun berkata parti pembangkang termasuk partinya akan bekerjasama dan tidak bersikap angkuh.
“Tidak boleh ada masing-masing tunjuk angkuh dan akhirnya kita (pembangkang) tidak dapat menyatu padukan pembangkang.
“Saya selalu fikir macam mana hendak kumpulkan kekuatan pembangkang dalam satu bakul. Saya harap akan ada perubahan yang berlaku,” katanya.
Nasir antara individu rapat dengan Amiruddin bahkan turut dilihat hadir bersama-sama ke Konvensyen Nasional 2017 Amanah di Alor Setar pada Oktober lalu.
Bagaimanapun Nasir enggan memberikan sebarang komen ketika ditanya mengenai sama ada beliau juga akan meninggalkan PAS secara rasmi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan