Ampun Tuanku.
Merafak sembah menjunjung kasih ke bawah DYMM Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sesungguhnya patik memohon ampun limpah perkenan Tuanku mencemar duli membaca warkah ringkas patik dengan hati terbuka, ikhlas dari hati seorang rakyat.
DYMM Tuanku,
Pertamanya patik dengan sembah takzimnya ingin merakamkan setinggi tahniah ke bawah duli Tuanku, kerana di bawah naungan panji Tuanku ternyata Selangor terus berkembang pesat dan mahsyur ini terbukti sepertimana sumbangan Selangor kepada suku hasil pendapatan negara.
Malah gandingan kepimpinan Tuanku dalam pentadbiran negeri Selangor amatlah patik kagumi dengan hasil mahsul bumi Selangor kini terjaga dengan baik termasuk hasil rizab yang mana atas perkenan Tuanku, rakyat beroleh hasil yang membawa kesejahteraan kepada negeri Selangor dan seluruh isinya.
Selaku anak Johor, Tuanku persis Tuanku Sultan Johor yang begitu kasih dan kisahkan rakyat malah keterbukaan Tuanku Sultan Selangor dalam segenap hal membawa kepada kemajuan atau modernisasi secara wasatiyyah dalam kalangan rakyat. Tuanku ternyata lantang demi kesejahteraan rakyat semata. Maka bersyukurlah rakyat yang berada di bawah naungan duli Tuanku.
Ampun Tuanku,
Sesungguhnya patik mohon ampun dalam izin menyatakan beza pendapat dan mengambil ruang ini untuk saling memperjelaskan kepada Tuanku Sultan Selangor berdasarkan titah Tuanku hari ini (2/11/2017) yang pada hemat patik adalah salah faham mengenai pernyataan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap keturunan Bugis.
Ampun Tuanku,
Menurut kenyataan media dari pihak DYMM Tuanku, pada akhir perenggan pertama ada dinyatakan bahawa kenyataan Tun Dr Mahathir adalah “dilihat cuba menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis” sehingga timbulnya saranan daripada pihak Tuanku untuk Tun Dr Mahathir Mohamad dikenakan Akta Hasutan.
DYMM Tuanku, dari kenyataan mewakili pihak Tuanku di atas ternyata hemat patik ada salah faham terhadap kenyataan Tun.
Izinkan patik memperjelaskan isu yang jelas dipolitikkan pelbagai pihak sebelum ini sedang negara dihimpit pelbagai masalah yang lebih meruncing.
Telah lama dan banyak kali sebenarnya dalam ucapan Tun yang mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dan menggelarkan beliau sebagai pahlawan bugis yang 'merompak' dan juga 'lanun'.
Sekiranya dinilai, setiap kali pernyataan itu dilontarkan bukanlah pernyataan itu ditujukan buat seluruh bangsa atau keturunan Bugis.
Pernyataan itu juga timbul susulan kenyataan Datuk Seri Najib Razak sendiri yang menggelarkan dirinya sebagai 'Pahlawan Bugis' dalam suatu program pada 4 Jun 2015 di Sarawak.
Sejak itu Tun Dr. Mahathir sememangnya menyebut mengenai Pahlawan Bugis dalam naratif untuk menyedarkan tindak tanduk Datuk Seri Najib Razak yang berselindung melalui keturunan untuk menghalalkan tindakan salah laku beliau khususnya dalam hal salah guna kuasa dan rasuah.
Ini ternyata sebenarnya lebih memalukan seluruh keturunan Bugis.
Malah baru-baru ini, Tun Dr. Mahathir sendiri ada memperjelaskan mengenai tindak tanduknya yang menujukkan pernyataan tersebut hanya kepada Najib Razak kerana beliau atas kredibilitinya selaku Perdana Menteri yang mengamalkan salah guna kuasa sebenarnya memalukan keturunan Bugis dan bukanlah ditujukan buat seluruh keturunan Bugis hakikatnya dan ini boleh didapati melalui penulisan beliau di laman 'blog' chedet.cc bertarikh 26 Oktober 2017. Berikut adalah pautan web: http://chedet.cc/?p=2653
Malah jelas pada perenggan tiga apabila Tun Dr. Mahathir menyatakan; “Ucapan saya dituju kepada Najib yang sering mendakwa ia adalah pahlawan Bugis. Pahlawan Bugis tidak mencuri. Najib pencuri besar dan dikenali sebagai penyamun oleh seluruh dunia.”
Sebelum itu pula, dalam ucapan Tun Dr. Mahathir bertarikh 18 Oktober 2017 di Kemaman, Terengganu. Dengan jelas Tun berkata (pada minit 2:25); “Orang Bugis tak semuanya lanun, Raja kita ada keturunan Bugis juga...” (lihat video: https://www.youtube.com/watch?v=yWK66Ddg4UM ).
Ini jelas menunjukkan pendirian Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menujukkan pernyataan dan menempelak Datuk Seri Najib Razak semata-mata atas salah laku beliau yang menggunakan keturunan Bugis sebagai perisai.
Ampun Tuanku,
Sesungguhnya patik amat kecewa apabila isu ini ditimbulkan apatah lagi dipolitikkan bagi mengalih pandangan terhadap isu besar lain seperti rasuah, kleptokrasi dan ketirisan yang berleluasa sekaligus menghalang kemajuan negara.
Patik risau Tuanku, sedang negara tercinta berada dalam kemelesetan kesan salah-laku pucuk pimpinan Malaysia yang membawa kepada himpitan hidup rakyat, isu ini lebih diutamakan sedang 1Juta tandatangan rakyat yang marah dan terkesan dengan kemunduran ekonomi dan mahukan perubahan demi Malaysia yang lebih baik namun diketepikan.
Saya sebagai orang Melayu amatlah berasa malu sekiranya menggunakan nama sebagai 'Pahlawan Melayu' sebagai jalan untuk menghalalkan perbuatan rasuah dan menjadikan medan bangsa mahupun keturunan untuk menghalalkan perbuatan sebagai perisai.
Saya yakin sebegitulah juga untuk seluruh keturunan Bugis. Ini bukan isu bangsa mahupun keturunan, tidak kisah keturunan Melayu, Bugis, India, Cina, Sabah dan Sarawak, tetapi kalau mengamalkan rasuah saya akan berasa malu akan perbuatan sedemikian yang menggunakan bangsa sebagai perisai.
Sebagai salah seorang rakyat, patik sesungguhnya idamkan sepertimana kata-kata keramat 'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada' kerana itulah 'Wa'adat' yang mana raja sentiasa memayungi rakyat akan keperluan dan kehendak demi kesejahteraan bukanlah sebaliknya.
Malah patik terkejut dengan gesaan dari pihak DYMM Tuanku dan nyata patik berbeza pendapat untuk Tun Dr Mahathir Mohamad disiasat di bawah akta hasutan kerana pernyataan Tun juga boleh dikaitkan dengan isu kenyataan Zahid Hamidi yang menyerang keharmonian kaum apatah lagi melibatkan keturunan India yang juga merupakan warganegara di Malaysia.
Ampun Tuanku,
Patik berharap Tuanku bersama kami rakyat, seganding dengan kami demi kesejahteraan negara dan kesenangan rakyat tuanku.
“Fight For Us Tuanku, Fight For All Malaysians”.
Ampun Tuanku.
(Kenyataan ini tidak mewakili parti, lebih kepada kenyataan peribadi dari seorang rakyat Malaysia.)
SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Malaysia.
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan