Bekas warden tahfiz dipenjara 20 tahun, sebat kerana jenayah seksual

Seorang bekas warden, yang juga ustaz, di sebuah pusat tahfiz dihukum penjara 20 tahun dan enam sebatan selepas didapati bersalah oleh dua mahkamah berasingan di Ampang, hari ini atas pertuduhan melakukan seks luar tabii dan kelucahan melampau terhadap empat pelajar lelaki di pusat tahfiz itu, dua tahun lalu.

Kedua-dua mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Di Mahkamah Sesyen, Hakim Syafeera Mohd Said menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan enam sebatan terhadap Muhammad Adib Sufyan Azman, 21, atas kesalahan melakukan seks luar tabii terhadap seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun.

Tertuduh, yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pusat tahfiz di Ukay Perdana di Kuala Lumpur, yang kini telah pun ditutup, antara Januari 2014 dan Oktober 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

“Setelah mahkamah mendengar dengan teliti keterangan, mitigasi dan hujahan pemberatan pihak pendakwaan dan pembelaan, tertuduh didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun bermula dari tarikh jatuh hukum (hari ini) dan enam kali sebatan," kata hakim itu.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan sembilan saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan termasuk tertuduh pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 2016.

Di Mahkamah Majistret, tertuduh dihukum penjara masing-masing 20 bulan bagi tiga pertuduhan melakukan kelucahan melampau iaitu dengan meraba kemaluan tiga pelajar lelaki berusia 14 tahun di tempat sama antara Januari 2015 dan April 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun.

Majistret Haslinda A. Raof memerintahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut secara berasingan.

Kedua-dua mahkamah tersebut turut menolak permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Terdahulu ketika rayuan, peguam tertuduh, G.S. Mani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya kerana ia ada kesalahan pertama dan tiada kecederaan atau kesan trauma kekal yang berlaku terhadap mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya, M.S Arunjothy yang mengendalikan kes luar tabii, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran dengan mengambil kira tertuduh sebagai warden pusat tahfiz telah mengambil kesempatan melakukan perbuatan tidak bermoral itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abdul Razak, yang mengendalikan kes kelucahan melampau, berhujah hukuman berat perlu diberikan kepada tertuduh kerana perbuatan itu bukan sahaja menyebabkan masa depan kesemua mangsa musnah tetapi telah menjejaskan institusi tahfiz di negara ini.

“Kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Tertuduh merupakan tenaga pengajar yang mengajar al Quran di tahfiz berkenaan, mana-mana agama mengajar sesuatu yang baik bukan melanggar fitrah kemanusiaan.

Mangsa juga telah membayar yuran (untuk belajar tahfiz) namun balasannya anak-anak ini diperlakukan sebegitu,” katanya yang memberitahu semua mangsa mengalami trauma teruk dan terpaksa mendapatkan rawatan kaunseling secara berterusan untuk memulihkan emosi.
-Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan