KUALA LUMPUR: Seorang model wanita warga Belanda, yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol maut selepas terjatuh dari tingkat 20 sebuah kondominium di Jalan Dang Wangi, semalam.
Mangsa, Ivana Esther Robert Smit, 19, ditemui mati dalam keadaan bogel di balkoni sebuah unit kediaman di tingkat 6, kondominium itu.
Menurut sumber, sebelum kejadian, Ivana bersama pemilik kediaman yang juga seorang lelaki warga Amerika Syarikat dan isterinya warga Kazakhstan, dilaporkan keluar minum di sebuah premis hiburan di Bangsar.
"Selepas berhibur, ketiga-tiga mereka dilaporkan kembali ke kondominium itu sebelum pasangan suami isteri terbabit masuk ke bilik tidur manakala Ivana berehat di ruang tamu rumah.
"Bagaimanapun, Ivana yang tidak berpakaian dipercayai pergi ke balkoni lalu terjatuh sehingga menerobos sengkuap balkoni kediaman di tingkat 6 sebelum mendarat di balkoni unit berkenaan," katanya.
Ivana yang pernah menang tempat ketiga dalam pertandingan 'Malaysia Supermodel Search 2014' ketika berusia 15 tahun, didapati turut memiliki kewarganegaraan Belgium.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
"Hasil siasatan awal dan bedah siasat yang dijalankan mendapati tiada unsur jenayah dan kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
"Polis Daerah Dang Wangi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil bagi membantu siasatan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan