Berita Harian
PENAMPANG: Berang selepas barang kemasnya hilang, seorang ibu melibas pisau pemotong daging sehingga mencederakan tiga anaknya berusia 10, 12, dan 15 tahun, dalam kejadian di sebuah rumah pangsa di Ketiau, Putatan, di sini, malam tadi.
TINJAUAN di sebuah rumah di mana seorang ibu melibas tiga anaknya menggunakan pisau pemotong daging di sebuah rumah pangsa di Ketiau, Putatan. - Foto Khairull Azry Bidin
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, ketiga-tiga mangsa cedera di tangan, manakala seorang lagi anak wanita itu berusia tujuh tahun tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian, suspek meminta semua anaknya mencari cincin dan seutas gelang tangan yang dipercayai hilang sejak Ahad lalu.
"Selepas gagal menemui semua barang kemas itu, mangsa dikatakan marah lalu mengambil pisau pemotong daging dan melibas-libas ke arah empat anaknya dengan tujuan ada anak mengaku mengambil barang kemas suspek.
"Akibat kejadian itu, tiga anaknya terkena libasan di bahagian tangan dan seorang lagi tidak cedera.
"Semua mangsa kemudian melarikan diri dan meminta bantuan jiran untuk mendapatkan rawatan di Klinik 1Malaysia Taman Ketiau," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Susulan itu, Mohd Haris berkata polis menahan wanita berusia 34 tahun itu di rumahnya pada jam 10 malam hari sama.
"Polis turut merampas sebilah pemotong daging dipercayai digunakan ketika kejadian itu" katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan