HUSIN MAHAT
Timbalan presiden AMANAH Salahuddin Ayub mengakui pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa Adun Pas Selangor dan menyifatkannya sebagai satu permulaan yang baik.
Menurut beliau, perbincangan itu berjalan mudah dan mesra kerana mereka telah saling mengenali sejak sekian lama dan mempunyai cita-cita yang sama untuk melakukan perubahan dalam politik negara.
“Mereka kecewa kerana rasa dipinggirkan dalam Pas, dianggap tidak setia kepada parti dan tidak wala’ (patuh) kepada pemimpin,” jelas Salahuddin ketika ditemui.
Salahuddin bagaimanapun berkata, pihaknya tidak memberikan apa-apa tawaran kepada Adun-Adun Pas terbabit kerana ia bukanlah satu budaya yang sihat.
Bagaimanapun tambah beliau, AMANAH membuka pintu seluas-luasnya kepada mereka untuk bersama parti itu dan berperanan mengikut kemampuan masing-masing.
Diminta mengulas tentang desas-desus Adun-Adun Pas tersebut ditawarkan bertanding atas tiket PKR dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, Salahuddin berkata ianya tidak timbul kerana Adun-Adun Pas itu telah menafikannya.
Beberapa portal berita baru-baru ini melaporkan sekurang-kurangkan enam Adun Pas akan menyertai PKR dan bertanding atas tiket parti itu di peringkat Dun pada pilihan raya umum akan datang.
Berita itu disambut baik oleh beberapa pemimpin PKR negeri.
Bagaimanapun naib presiden Pas yang juga bekas pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad menafikan desas-desus itu dan yakin dengan kesetiaan semua wakil rakyat dan pemimpin parti itu di Selangor yang “tidak mudah melatah, apatah lagi melompat ke parti lain termasuk PKR”.
Iskandar yang juga exco kerajaan negeri Selangor berkata, dakwaan ada pemimpin dan Adun Pas negeri akan menyertai PKR adalah khabar angin yang sengaja digembar-gemburkan pihak lawan yang terdesak untuk mendapat sokongan rakyat negeri itu menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Saya yakin 100%, wakil rakyat serta pemimpin Pas Selangor akan setia kepada Pas. Laporan media bahawa beberapa Adun serta pimpinan Pas Selangor akan menyertai PKR adalah tidak benar.
“Pada saya, ia adalah khabar angin yang sengaja dicipta untuk mengganggu persiapan Pas Selangor menghadapi pilihan raya umum yang dijangka kurang dari 3 bulan mulai sekarang.
“Ia juga bertujuan mewujudkan kegusaran di kalangan ahli-ahli agar mereka hilang tumpuan,” katanya melalui mesej WhatsApp kepada FMT, 23 Dis lalu.
Iskandar mengulas laporan The Malaysia Insight yang memetik sumber sebagai berkata, jentera pilihan raya PKR Selangor diminta bersedia menerima gelombang kemasukan kedua pemimpin dan ahli Pas negeri itu, termasuk bertanding atas tiket PKR pada PRU14.
Sumber itu dilaporkan mendakwa ‘gelombang kedua’ itu membabitkan wakil rakyat Pas Selangor yang dikatakan tidak berpuas hati dengan hala tuju parti itu ketika ini yang mahu bersendirian pada PRU14.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan