ARIF ATAN
Anjing yang dibawa wanita ini dan pasangannya di sebuah pusat beli-belah di Melaka dikritik ramai netizen kerana tidak menghormati sensitiviti masyarakat Islam.
Seorang pengguna Facebook, Firdaus Majid menyeru masyarakat semua kaum supaya bersikap peduli terhadap larangan membawa anjing peliharaan ke pusat beli-belah.
Berkongsikan pengalamannya ketika berada di AEON Mall Bandaraya Melaka kelmarin, beliau terkilan dengan sikap tidak peduli orang awam apabila sekadar memerhati insiden anjing yang kencing di atas sebuah troli.
Terdahulu, jelasnya dalam status yang tular itu, lelaki kepada pasangan pengunjung pusat beli-belah tersebut dilihat mengelap najis anjing yang dibawa dengan tisu tandas.
“Baju canggih tapi otak masih kuno. Dah tahu kawasan pusat beli-belah tapi masih bawa peluk anjing. Siap (anjing) kencing atas troli lagi tu.
“Si laki dia siap tolong lap kencing anjing pakai tisu tandas. Isteri saya dah pergi ke kaunter info di aras bawah beritahu samak troli tu,” dipetik daripada status Facebook beliau kelmarin.
Firdaus memberitahu beliau dan isterinya bertindak untuk menjaga troli itu hampir sejam mulai pukul 5.30 petang sementara menunggu ketibaan staf AEON bagi mengelak alat yang dicemari najis berat itu digunakan oleh pengunjung lain.
Beliau turut berkongsikan empat foto berkaitan yang antaranya menunjukkan imej seorang wanita berskirt hitam paras lutut berdiri di hadapan troli yang di dalamnya ada anjing serta gambar kehadiran staf AEON di lokasi tersebut.
“Dahlah sebelah tandas dan bilik bayi. Lepas telefon khidmat pelanggan, kakitangan bertugas telah ambil troli dan beritahu kami yang mereka akan menyertu troli itu,” katanya.
Namun, sepanjang insiden itu berlangsung, beliau mendapati ramai orang awam yang berulang-alik ke tandas di situ dan ternampak kejadian tersebut tidak melakukan sebarang tindakan.
“Semua buat tak tahu sahaja. Baik yang muda dan tua. Yang Melayu pun nampak tapi semua tak nak ambil tindakan.
“Hanya tengok, lepas tu main telefon,” ujarnya dalam status yang mendapat lebih 1,500 komentar hanya dalam tempoh dua hari selepas dimuat naik pada 18 Februari lalu.
Walau bagaimanapun, Firdaus menegaskan perkongsiannya itu bukan bertujuan untuk membangkitkan isu perkauman.
“Post ini bukan untuk rasis pada sesuatu, cuma sangat marah dengan tindakan pasangan ini dan orang awam (semua bangsa) yang lalu di situ langsung tak ambil kisah kejadian itu.
“Bayangkan kalau ada orang letak bayi dalam troli itu, bayi terpegang najis itu dan hisap jari-jari.
“Tambah sadis kalau mak ayah pula main kemam jari-jari anak yang terkena najis itu dalam mulut. Sebab itu, kami ambil inisiatif jaga troli itu sampi selesai,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan kepada anggota masyarakat semua kaum supaya peka dengan isu berkaitan sensitiviti budaya dan agama.
“Baik yang Melayu, Cina, India dan lain-lain. Janganlah sibuk sangat main telefon sampai sanggup butakan mata hal-hal begini.
“Ini tak, dah nampk buat senyap, lepas itu blah (pergi) macam tu saja. Bertanggungjawab sikit walaupun orang awam,” tegasnya lagi.
Rata-rata netizen turut sependapat dengan Firdaus dengan antara lain menganggap tindakan membawa anjing ke pusat beli-belah sebagai mementingkan diri sendiri.
Antaranya, Ismen Ismail yang mengingatkan tindakan membawa anjing di tempat awam dalam suasana masyarakat berbilang kaum dan agama juga sebenarnya boleh dianggap bersifat rasis.
“Bila Muslim tegur pasal bukan non Muslim bawa anjing, mereka kata kita rasis.
“Kalau nak pelihara (anjing), pelihara saja di kawasan peribadi. Tak perlu libatkan orang lain, saling menghormatilah,” bidasnya.
Sementara itu, Nadzatul Syiha pula memaklumkan kakitangan AEON yang majoritinya Muslim telah selesai menyertu troli tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan