PH terima kajian Politweet tunjukkan BN, PH bersaing rapat

Khairil Ashraf

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Johor bersikap terbuka dengan kajian badan penyelidik media sosial Politweet yang menunjukkan PH dan Barisan Nasional bersaing rapat di negeri selatan itu.

Pengarah Pilihan Raya Salahuddin Ayub berkata kajian itu menunjukkan BN mendahului PH dengan peratus yang kecil pada tahap ini menuju pilihan raya umum ke-14.

“Kali ini kajian ini sama ada menyebelahi BN atau pembangkang, peratusannya tidak jauh, tidak macam dulu. Dulu jurangnya begitu ketara. Sekarang kalau BN mendahului pun dengan peratus yang kecil.

“Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara ini,” kata Salahuddin tentang kajian Politweet ke atas Johor yang sejak dulu dianggap kubu kuat Umno.

Berdasarkan kajian Politweet, BN dijangka terus menguasai Johor pada PRU14. Jurucakap Politweet dilaporkan berkata pengguna media sosial di Johor lebih tertarik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berbanding calon perdana menteri PH Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tapi satu benda cukup penting bagi pembangkang adakah kita ada masa lagi untuk melihat kelemahan dan kekurangan kita hari ini,” kata Salahuddin.

Di satu program di Sungai Manik, Perak hari ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi membayangkan PRU14 mungkin diadakan sebelum Aidilfitri.

Tarikh mandat kerajaan persekutuan akan berakhir pada 24 Jun 2018 dan PRU14 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh itu.

Sementara itu, menjawab Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkata sejarah menunjukkan parti-parti pecahan PAS seperti Amanah akan akhirnya “ditenggelamkan zaman”, Salahuddin berkata Hadi “agak ketinggalan” kerana masih membawa naratif lama.

“Dia mendoakan 2 tahun kita mati, tapi kita penting, kelahiran kita penting kerana bersama menubuhkan Pakatan Harapan,” kata Salahuddin, merujuk kepada gabungan pembangkang yang terdiri daripada Amanah, PPBM, PKR dan DAP.

Beliau berkata parti pembangkang tidak boleh bersendirian jika mahu mengubah kekuatan BN.

“Orang bertanding hari ini untuk menang, bukan hanya berbangga dengan sejarah lampau. ‘Hanya PAS lawan Umno’ tapi tak pernah menang dalam konteks memerintah negara,” katanya.

“Jauh di hati dia cukup cemburu dengan Amanah,” tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan